Saturday, May 31, 2014

AL-MARHUM SULTAN AZLAN SHAH DALAM KENANGAN

Petang itu, hati agak terusik.

Mungkin kerana pernah mendiami Darul Ridzuan
Mungkin kerana pernah menjejaki tanah kelahiran al-Marhum-Batu Gajah
Mungkin kerana sering melihat al-Marhum ketika hadir pada majlis kecemerlangan
Mungkin kerana institusi pendidikan kami yang sama-SMK Sultan Yussuf, Batu Gajah.

Pastinya warga Yussufian merasa kehilangan.

al-Fatihah.

Friday, May 30, 2014

LAUT TUJUH GELOMBANG BUIH, DASARNYA SOSIOBUDAYA

LAUT TUJUH GELOMBANG BUIH, DASARNYA SOSIOBUDAYA

JUDUL: LAUT TUJUH GELOMBANG BUIH
NO ISBN: 9789674302016
PENULIS: RAHIMIDIN ZAHARI
JENIS: KUMPULAN PUISI
TERBITAN: INSTITUT TERJEMAHAN DAN BUKU MALAYSIA (ITBM)
MUKA SURAT: 54
HARGA SM (RM 15) SS (RM 20)
NO. RESIT: ITBM02000873


Laut Tujuh Gelombang Buih merupakan sebuah himpunan puisi yang dikarang indah penuh falsafah oleh Rahimidin Zahari. Kumpulan puisi ini sebenarnya telah diangkat sebagai pemenang tempat kedua bagi kategori puisi sempena Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BERITA HARIAN. Sesudah naskhah ini dipilih untuk berada dalam kelompok yang terbaik, nescaya naskhah ini mempunyai kelebihannya yang tersendiri memandangkan menghakimi karya-karya kreatif seperti ini merupakan sesuatu yang sangat subjektif.
            Konsep dan reka bentuk kulit naskhah Laut Tujuh Gelombang Buih cukup menarik dan sedikit sebanyak menterjemahkan isi kandungan yang terdapat di dalam naskhah ini. Rahimidin Zahari sendiri menjadi watak pada kulit naskhah ini sambil memegang patung wayang kulit dan dilatari saujana samudera. Kreativiti pencetus idea dan pereka kulit perlu juga diberikan kredit.
Patung wayang kulit yang terdapat pada kulit naskhah ini sudah terang lagi bersuluh mentafsir tentang sosiobudaya. Sosiobudaya merupakan elemen yang penting dalam mencerminkan keindahan sesuatu budaya yang ditunjangi. Kajian oleh Intan Safinaz Zainudin (2001) yang berjudul Unsur Sosio-budaya dalam Terjemahan Novel Inggeris-Melayu cuba mengenal pasti unsur sosio-budaya yang wujud dan dikategorikan pula mengikut jenis dan ciri yang berbeza. Berdasarkan dapatan kajian yang dijalankan, terdapat lapan unsur sosio-budaya yang telah dikenalpasti iaitu, ekologi, bahan-bahan artifak, budaya sosial, organisasi dan budaya, perlakuan dan gerak laku, lawak jenaka, mainan kata dan frasa idiomatik.  Menurut Khairuddin Mohamad, Ghazali Ismail dan Mastura Mohamed Berawi (2014: 279), salah satu masalah serius yang perlu diharungi oleh penterjemah ialah menterjemah kata atau ungkapan yang mengandungi unsur sosial budaya yang sememangnya khas pada budaya bahasa sumber. Jelasnya setiap kelompok masyarakat atau bangsa mempunyai identiti yang tersendiri dan ini dapat dibuktikan melalui sosiobudaya yang berbeza-beza.
            Secara keseluruhannya, penulis banyak menyentuh tentang watak-watak yang terlibat dalam wayang kulit dan juga persekitarannya. Rahimidin Zahari yang sememangnya begitu sinonim dengan wayang kulit menjadikan naskhah puisinya ini begitu dekat dengan dirinya. Suatu ketika dahulu, wayang kulit begitu masyhur dalam kalangan masyarakat kerana menjadi salah satu medium hiburan. Rahimidin Zahari jelas sekali banyak mengabadikan watak ‘Rawana’ dalam kumpulan puisinya ini. ‘Rawana’ merupakan watak utama dalam epik Ramayana yang dipersembahkan dalam persembahan wayang kulit. Perhatikan puisi di bawah.
DARAH  RAWANA
Merah sudah lantai panggung itu
oleh percik darah Rawana
yang menetes di atas batang pisang
tadi malam. Apakah ia dari
tusukan panah seri rama
atau tiada lebih kerana sumpahan
kakak mbak saudara tua mas
manis gerga jiwa
si tua bangka itu
sita pula entah di pelosok gua atau
di negeri kayangan yang mana-
membawa kewanitaannya yang hamil
oleh benih pemusuhan
kelir kelihatan baying tatkala
lampu itu dipadam.  Dalang tua yang
terlupa mengesat darah Rawana
turun seketika dari panggung dan
bertanya “angkara siapakah itu?”


(halaman 1)
            Rahimidin juga mengabadikan nama watak ‘Rawana’ dalam rangkaian puisi ‘Sihir Rawana’. Walau bagaimanapun, Rahimidin menggunakan kemahiran berpuisinya untuk mengangkat tema yang lebih besar dan bukan berkisahkan ‘Rawana’ semata-mata.

SIHIR RAWANA (III)
Sihir apakah yang engkau kirimkan lewat desir angin dan
Hempas gelombang menusuk dan merobek sukma batini
Guncuran darah anak-anak palestina bertompok di langit
-malam tanpa bintang dan siang…
(halaman 40)
                Sememangnya wayang kulit tidak dapat dipisahkan dengan Rahimidin apabila turut mengabadikan ‘Wak Long’ dan ‘Pak Dogol’ (watak dalam persembahan wayang kulit) dalam puisi-puisinya. Beberapa puisi dalam naskhah Laut Tujuh Gelombang Buih ini menjelmakan keakraban antara mereka seperti puisi-puisi berikut:


KURINDUKAN
Kurindukan wayang bertabuh
di tanah padi tugal
setelah musim menuai

Kurindukan kekehan
Wak Long dan Pak Dogol
membuat kelakar cerita

Kurindukan rebab makyung
jamu kenduri ramai menderu
di anjung setana.
(halaman 7)

WAK LONG
Meski hanya watak wayang yang hodoh
Lagi hitam
yang kononnya dikumpul dari daki Pak Dogol
dikepal-kepal lalu menjadi seorang Wak Long

Wak Long hanya dari kulit belulang yang dikeringkan
Tereka dari imaginasi…
(halaman 22)

Puisi-puisi di dalam naskhah ini dikuatkan lagi dengan gaya bahasa indah Rahimidin yang tidak melampau-lampau atau keterlaluan. Puisi-puisinya juga bersifat ekonomis. Tuntasnya, Kumpulan Puisi Laut Tujuh Gelombang Buih adalah interpretasi idea Rahimidin Zahari yang disalurkan dengan menarik melalui wayang kulit yang begitu dekat dengannya. Wayang Kulit menjadi lambang sosiobudaya masyarakat di sebelah pantai timur khususnya dan pastinya merupakan sesuatu yang berharga yang perlu didekatkan dengan generasi masa kini. 

* ulasan buku ini merupakan penyertaan Peraduan Ulas Buku ITBM 2014



Tuesday, May 27, 2014

DI SOFA KATA: CAKNA ANAK MUDA DALAM USAHA MELESTARIKAN BAHASA DAN SASTERA MELAYU

DI SOFA KATA: CAKNA ANAK MUDA DALAM USAHA MELESTARIKAN BAHASA DAN SASTERA MELAYU

Oleh: Mohd Haniff Mohammad Yusoff


JUDUL: DI SOFA KATA
NO ISBN: 978-967-430-306-8
PENULIS: NUR FATIHA FADILA
JENIS: KUMPULAN ESEI BAHASA DAN SASTERA 
TERBITAN: INSTITUT TERJEMAHAN DAN BUKU MALAYSIA (ITBM)
MUKA SURAT: 225
HARGA: SM RM25 / SS RM30
NO RESIT: ITBM02000873

NASKHAH tulisan Nur Fatiha Fadila ini merupakan himpunan rencana tulisan beliau yang pernah disiarkan dalam majalah-majalah tempatan dan dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian pertama diberi judul ‘Wacana Bahasa Melayu’ dan bahagian kedua diberi judul ‘Esei dan Kritikan Sastera’. Penulis muda ini begitu cakna memerihalkan isu bahasa dan sastera Melayu dalam tulisan-tulisannya. Mengangkat bahasa ibunda dan sastera Melayu dalam penulisannya merupakan usaha murni dalam mendidik serta menyedarkan para pembaca akan keunggulan bahasa ibunda dan betapa signifikannya memelihara sastera Melayu.
            Bahasa Melayu mempunyai susur galur perkembangannya yang tersendiri, malah perkembangannya juga turut dikaitkan dengan agama Islam. Nur Fatiha Fadila tidak terlepas daripada mengisahkan sejarah bahasa Melayu melalui eseinya yang berjudul ‘Bahasa dan Bangsa Melayu: Satu Penelitian Sejarah’.
            Nur Fatiha Fadila merupakan penuntut program sarjana Kesusasteraan Melayu di Universiti Putra Malaysia memerihalkan keupayaan bahasa Melayu yang tidak boleh dipandang enteng. Sebagai warga yang menutur bahasa Melayu, kita sewajarnya menaruh rasa percaya dan bangga akan bahasa Melayu. Menerusi esei yang berjudul ‘Bahasa Tunjang Ketamadunan Negara dan Bangsa’, penulis menerangkan bahasa Melayu melalui zaman kegemilangannya ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka dan melalui zaman cabaran ketika zaman penjajahan. Walau bagaimanapun, keperihatinan para pemimpin dalam membentuk dasar selepas mencapai kemerdekaan memberikan kehidupan semula kepada bahasa Melayu seperti kewujudan Dasar Pendidikan Negara. Selain itu, ketamadunan negara dan bangsa dilangsungkan dengan usaha memperkasakan bahasa Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Sesebuah tamadun memerlukan bahasa sebagai imejan kepada peradaban dan negaranya. Begitulah juga dengan Malaysia. Walaupun diduduki oleh rakyat pelbagai kaum dan etnik dengan bangsa Melayu, Cina dan India sebagai kelompok terbesar, Malaysia tetap memerlukan satu bahasa sebagai identiti negara dan tamadunnya.” (halaman 25-26)
Penulis masih menekankan tentang kewibawaan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda dalam esei yang berjudul ‘Bahasa Tempatan Citra Jenama Tempatan’. Secara jujur penulis mengkritik sikap masyarakat kita yang tidak berbangga menggunakan bahasa Melayu sebagai label atau jenama sesuatu produk. Penulis turut membandingkan sikap rakyat di negara ini dengan rakyat negara lain seperti masyarakat Korea yang begitu berbangga dengan produk atau jenama keluaran mereka.
Isu bahasa dalam sektor pendidikan di Malaysia turut diberi perhatian oleh penulis. Kebelakangan ini, pelbagai isu yang diperdebatkan membabitkan bahasa dalam bidang pendidikan negara. Esei ‘Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu di Malaysia’ membawa pembaca menyoroti pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu dalam sistem pendidikan di Malaysia dari peringkat prasekolah sehingga ke peringkat institusi pengajian tinggi. Tulisan yang diberi judul ‘Peranan Guru dalam Pelestarian Bahasa Melayu’ ada menyatakan bahawa peranan guru bukan sekadar memperkenalkan para pelajar dengan ilmu linguistik semata-mata tetapi harus juga memberi pendedahan terhadap aspek-aspek bahasa yang lain seperti kesantunan berbahasa dan keindahan bahasa.
            Kecaknaan penulis turut dibuktikan dengan penulisannya yang berjudul ‘Perlestarian Bahasa Melalui Pembaharuan dan Pengembangan Nahu’. Melalui penulisan ini, penulis menjadikan naskhah Nahu Melayu Mutakhir sebagai rujukan utama. Penulisan ini pastinya akan lebih menarik jika dilakukan perbandingan terhadap naskhah-naskhah tatabahasa Melayu sedia ada. Perbezaan yang dilakukan mampu mencerminkan pendirian dan idea setiap ahli bahasa yang berbeza dalam mengemukakan rumus ataupun formula nahu bahasa Melayu.
            Bahasa dan masyarakat sememangnya tidak dapat dipisahkan kerana bahasa menjadi medium yang penting dalam menjayakan sesebuah komunikasi. Esei ‘Bahasa Perbualan Baharu dalam Masyarakat’ secara keseluruhannya menggambarkan situasi semasa masyarakat yang ‘mencipta’ bahasa baharu dengan mewujudkan bahasa slanga, percampuran kod, penukaran kod dan bahasa singkatan. Situasi ini sewajarnya diberikan perhatian agar bahasa Melayu tidak mudah diperalatkan. Kesantunan berbahasa juga perlu diamalkan dalam komunikasi seharian agar dapat mewujudkan suasana yang harmoni dalam kalangan masyarakat di samping menyumbang kepada komunikasi atau interaksi yang berkesan.
            Penulis juga mengaitkan bahasa Melayu dengan keindahan bahasa Melayu itu sendiri yang tiada tolok bandingnya. Fakta ini boleh dirujuk melalui esei yang bertajuk ‘Bahasa dalam Filem Melayu: Antara Dua Zaman’ dan ‘Manipulasi Kuasa Bahasa Kreatif’. Esei yang berjudul ‘Stilistik: Medium Penghasilan Karya Kreatif Imaginatif’ pula memberi pendedahan kepada pembaca tentang penulisan yang berkesan.
            Melalui bahagian kedua, Nur Fatiha Fadila begitu tekun mengakrabi stilistik, bahasa dalam sastera serta pemikiran beberapa tokoh sastera dalam karya-karya yang dipilih untuk dikaji. Penulis yang mempunyai latar belakang sebagai pemegang Ijazah Sarjana Penulisan (Penulisan Kreatif) mengaplikasikan segala ilmu yang ada untuk menghasilkan penulisannya. Secara tidak langsung, penulisannya menjadi hidup dengan disokong beberapa rujukan yang berkaitan.
            Penulisannya juga tampak kritis apabila mengaplikasikan beberapa teori di dalam penulisannya seperti Teori Psikoanalisis Lacan dalam esei ‘Konflik Kejiwaan Hikayat Qaziq dari Sudut Psikoanalisis Lacan’ dan mengaplikasikan Teori Hegemoni dalam esei yang berjudul ‘Kuasa dan Strategi Penguasaan Tersembunyi dalam “Hering”. Tuntasnya, teori-teori ini menjadi tunjang untuk dijadikan analisis dalam teks sastera yang dipilihnya.
            Bukan mudah untuk melahirkan sebuah tulisan yang berbentuk akademik seperti yang dilakukan oleh Nur Fatiha Fadila. Pastinya rujukan yang sewajarnya perlu dilakukan agar fakta yang diperolehi tepat dan tidak menyimpang. Bahasa yang digunakan oleh penulis juga segar dan teratur sekaligus mencerminkan penulisnya seorang yang cermat dan santun dalam berbahasa. Kumpulan Esei Bahasa & Sastera Di Sofa Kata ini sesuai untuk dijadikan bahan bacaan tanpa had peringkat umur memandangkan bahasa dan sastera Melayu adalah milik kita sebagai penutur aslinya!


* ulasan buku ini merupakan penyertaan Peraduan Ulas Buku ITBM 2014




Tuesday, March 11, 2014

PENULISAN YANG DISIARKAN [MAC 2014]


 Sebuah layangan warkah 

Sebuah cerpen yang perlukan kritikan SM Zakir

Sebuah rencana berkisahkan pantun dalan animasi Upin dan Ipin



Monday, March 10, 2014

PULANGLAH, MH370

Sejak Sabtu yang lalu, hati benar-benar terasa sayu. Kita yang begitu ralit dengan urusan masing-masing tiba-tiba menjadi cakna. Setiap kali sebelum tidur, pasti mengharapkan sinar yang menyapa pada paginya dan begitu jua setiap kali mencelikkan mata-mengharapkan segalanya menjadi pasti. Membaca rintihan dan harapan ahli-ahli keluarga mereka, membuatkan hati bertambah sayu. Berat mata yang melihat, berat lagi beban yang digalas. Saat begini juga mendidik kita untuk terus berdoa mengharap pada Yang Esa dan paling penting membawa kita kembali mengingati Yang Maha Kuasa. Oh, Tuhan kerdilnya diri kami di hadapan-Mu.

 
 Sumber gambar: laman sosial

"Ya Allah, Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkaulah yang menjadikan malam dan siang, menghidupkan juga mematikan. Kau selamatkanlah semua krew dan penumpang MH370 yang terlibat. Kau pelihara dan lindungilah mereka dari segala bahaya. Amin."

#MalaysiaAirlines
 #PrayForMH370
#MH370

Thursday, February 20, 2014

PESTA BUKU UTARA UUM 2014


Pesta Buku Utara UUM kembali lagi! Salah satu yang sangat menyeronokkan apabila belajar di sini ialah setiap tahun akan dianjurkan pesta buku utara. Penerbit daripada universiti-universiti lain akan turut serta dalam pesta buku ini selain penerbit-penerbit gah yang lain seperti DBP, ITBM dan sebagainya. Jom, berbelanja demi pengetahuan!



SEMESTER EMPAT-PENGHUJUNG PENGAJIAN


"Baring dan memandang bilah-bilah kipas yang ligat berpusing. 
Hari ini perasaannya sama seperti hari pertama mendaftar pengajian kira-kira lima tahun yang lalu. 
Hakikatnya, saya sudah memasuki fasa terakhir melengkapkan pengajian saya yang ini. 
Cepat benar masa berlalu seperti bilah-bilah kipas itu."

(Mohd Haniff Mohammad Yusoff, 2013)

Semester baharu telah pun bermula. Semester ini saya hanya mempunyai satu subjek sahaja lagi iaitu Kajian Terjemahan dan Kertas Projek Akhir bagi melengkapkan pengajian peringkat sarjana saya. Biarpun masih mempunyai satu subjek sahaja. Pemberat Kertas Projek Akhir ibarat perlu menghadiri dan menyelesaikan tugasan-tugasan untuk dua subjek lagi. Semester yang agak berat juga buat saya sebelum bergraduasi pada penghujung tahun ini juga. Insya-Allah.

BUKU BAHARU 2014 | PERMULAAN


Ya, permulaan. Selepas ini banyak lagi buku yang mahu dibeli pada tahun ini. HEHEHEHE. Sempat juga saya beli beberapa buah buku ketika bercuti di Kuala Lumpur tempoh hari. Sebenarnya saya lebih selesa untuk membeli-belah (baca; membeli buku) di Kuala Lumpur memandangkan lebih mudah untuk menemui buku yang di kehendaki di kota besar seperti Kuala Lumpur. Sempat la juga saya beli empat buah buku:

1. Antologi Cerpen Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2012, 'Sejujur Manggis'- terbitan UPSB
2. Teks remaja 'Kotak', pemenang kedua novel remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2012 , karya Ruhaini Matdarin- terbitan UPSB
3. Teks 'Bedar Sukma Bisu', karya Faisal Tehrani- terbitan DBP
4. Teks 'Terjemahan: Produk dan Proses', tulisan Roger T. Bell- terbitan DBP

Bengkel Zine


Ketika cuti semester yang lalu, sempat juga saya turun ke Kuala Lumpur mengisi hari-hari cuti saya dengan aktiviti yang dekat di hati. Sempatlah juga saya menyertai sebuah bengkel penulisan zine yang diadakan di Perpustakaan Raja Tun Uda Shah Alam. Pertama kali saya ke perpustakaan yang tersegam indah ini dan mempunyai persekitaran atau panorama yang mempesonakan. 


Bengkel dimulakan dengan sesi sual kenal sebelum berehat sebentar untuk makan tengah hari dan solat Zohor. Bengkel dimulakan dengan slot penulisan puisi, dan diteruskan dengan slot terjah media dan slot bersama abang Irwan selaku penggiat zine yang berpengalaman. 

Zine sekarang rupa-rupanya semakin berkembang ya. Jangan tak tahu pula, zine juga boleh didapati dalam pelbagai bentuk bergantung kepada kreativiti si penulis zine. Itu merupakan salah satu strategi mereka untuk memasarkan zine mereka. Zine-zine juga sekarang boleh dijumpai di #BukuJalanan .



Friday, January 31, 2014

ULANG TAHUN KELAHIRAN KE-26

Oh usiaku kian berganjak, diriku bagaikan tidak percaya. Inikah dinamakan cinta? Rasanya baru sahaja menyambut usia jubli tembaga tahun lepas. Dan Januari datang lagi tanpa pernah kecundang dalam mendahului bulan-bulan yang lain. Januari kali ini juga indah tetapi sayang karya dalam penulisan tidak menyerlah. Januari tahun ini saya sudah bebas dari peperiksaan, tiada tekanan menghadap segala nota dan teori yang menyesakkan. Januari kalai ini juga kaki saya sempat merayap-rayap ke Kuala Lumpur, hampir seminggu juga di sana. Dan Januari saya batuk tanpa henti. Hehehe. 

Melalui blog saya yang indah menawan ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada setiap daripada anda yang mengucapkan selamat ulang tahun kelahiran kepada saya tidak kira secara verbal atau non-verbal. Hehehehe. Terima kasih atas ucap selamat yang disalurkan melalui Facebook, Twitter, SMS, WeChat dan juga WhatsApp. Oh ya terima kasih yang bagi hadiah dan yang janji nak bagi hadiah. Saya tunggu dengan penuh setia. Berikut beberapa ucapan yang menarik perhatian saya. Ada artis ucap selamat juga tau! 

Melalui Facebook, saya menerima ucap selamat daripada seorang pelakon dan juga penggiat teater, Shafaren Hamid. Di Twitter selalu juga berbalas tweet dengan beliau. Seterusnya, blogger terkenal Malaya, Ben Ashaari pun ucap selamat di dinding twitter saya. Terima kasih Abang Ben!

Ucapan menerusi Facebook
Melalui Twitter, saya turut menerima ucap selamat daripada Kak Farah. Farah mana? Ala Farah AF 2 Breep....breep...tu. Kebetulan, sebenarnya kami menyambut hari pertambahan usia pada tarikh yang sama. 

Ucapan daripada Farah Diana menerusi Twitter

Oh ya melalui Twitter ni, saya tertarik sangat dengan ucapan Shamsul Amin. Saya rasa saya ni seperti selebriti pula tau! 


Usaha yang baik oleh Shamsul Amin


Kalaulah betul-betul 'trending' #HappyBirthdayMohdHaniffMohammadYusoff tu, tahun depan rasanya saya kena buat album berduet dengan Dato' Siti Nurhaliza Taruddin. 

Terima kasih juga buat FAMILY SKYPE, boleh cari kami di twitter dengan kata kunci : #familyskype Eh, terpromosi pula. Mereka membuat ucapan melalui aplikasi WhatsApp. Walaupun kami tidak pernah berjumpa, tetapi keakraban antara kami tetap terasa.

Oh ya, saya juga nak ucapkan terima kasih kepada seorang abang ini atas kreativitinya mengedit gambar saya di bawah ini:

Terima kasih Bang Najeeb!
Ya, dia juga seorang blogger, bolehlah ke blog beliau seperti alamat blognya yang tercatat dalam gambar di atas. Terima kasih abang Najeeb, nak hadiah juga!!! 

Yang memberi dan kirimkan hadiah, terima kasih tidak terhingga. Yang berjanji dan belum dilunasm saya tunggu penuh setia. Hehehe. Setulus ikhlas dari hati, saya ingin mengucapkan ribuah terima kasih atas ucapan dan tanda ingatan yang kalian berikan. Semoga penambahan umur ini lebih mematangkan diri dari segala sudut dan segi. =)


Antara hadiah yang diperolehi tahun ini




PEMENANG PERTAMA SILANG KATA SOLUSI



Alhamdulillah, setelah tiga kali percubaan berturut-turut, akhirnya tersangkut kali ini dan terus menjadi pemenang tempat pertama. Dua percubaan sebelumnya gagal untuk mendapat sebarang hadiah. Ini merupakan kali pertama memenangi peraduan silang kata anjuran majalah berbentuk Islamik, Solusi. Sebelum ini pernah menang tiga kali peraduan silang kata majalah Dewan Siswa-itu cerita zaman persekolahan dulu. 

Beli dan bacalah majalah Solusi ni. Banyak manfaatnya dan kertas serta kulit majalah ni sangat berkualiti! Saya begitu berpuas hati apabila memilikinya. 


Majalah Solusi keluaran terkini. [Diambil dari Facebook 'Majalah Solusi']

Monday, January 27, 2014

EMPAT JAM DI LANGKAWI


CATATAN TERTANGGUH- DISEMBER 2013

Benar, hanya empat jam sahaja kami berada di Langkawi. Mengikut perancangan awal sememangnya sebegitulah- tidak terlalu lama. Kami ke sana sekadar untuk menjamu selera dan bersiar-siar di sekitar kawasan jeti Pekan Kuah sahaja. Memandangkan waktu cuti persekolahan, jadi memang ramai pelancong dari dalam dan luar negara yang hendak ke Langkawi ketika itu. Hampir sejam juga menuggu waktu perjalanan feri memandangkan itulah waktu perjalanan terdekat yang ada: kami juga dinasihatkan untuk membeli tiket feri terlebih dahulu ketika tiba di jeti Pekan Kuah nanti memandangkan hanya sehari ke Langkawi-bimbang kehabisan tiket.

Bertolak dari jeti Kuala Perlis ke jeti Pekan Kuah, Langkawi memakan masa sejam juga, namun jika dibandingkan perjalanan dari Kuala Kedah ternyata masa perjalanannya lebih lama berbanding dari Kuala Perlis. Setibanya di jeti Kuala Perlis, kami terus membeli tiket untuk pulang dan seterusnya mencari restoran Kenny Rogers. Restorannya hanya berhadapan sahaja di luar bangunan jeti Pekan Kuah.

Setelah usai bersolat- jangan bimbang akan kemudahan awam di bangunan jeti Pekan Kuah, kami bersiar-siar sambil bergambar di Dataran Helang. Baki masa yang ada kami gunakan untuk membeli-belah [membeli coklat] dalam bangunan jeti Pekan Kuah.

Perjalanan pulang berjalan dengan lancar cuma laut bergelora ketika hampir ke Jeti Kuala Perlis. Memang terasa terumbang-ambing. Filem Thor dipertontonkan kepada penumpang tetapi keletihan menyebabkan saya tidur sepanjang perjalanan pulang. Empat jam di Langkawi, pengalaman manis bersama teman-teman, melarikan diri dari tekanan.

Thursday, December 19, 2013

MELALUI HARI-HARI TANPA MENULIS

Saya sudah lama mendiamkan diri dari berkarya dan saya terpaksa lupakan sasaran saya iaitu dua lagi cerpen untuk tahun ini.