Sunday, September 18, 2011

Nota buat Varsiti Tercinta

Aku kaku tidak terdaya

saat diserang perasaan

deru angin pun mencengkam erat

memeluk tubuhku bersama kenangan

aku rebah dalam rasa

kalah menyeka air mata.

Sudah lamaku mengitar hidup

di bumantara ini

mengutip nilai agung darjat manusia

bukan sahaja di dunia,

bahkan untuk akhirat jua

dan hari ini berakhir sudah

perjalananku di sini.

Selamat tinggal varsiti semesta

terima kasih atas segala cinta!

MOHD HANIFF MOHAMMAD YUSOFF

Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa

Kolej Akademik COLGIS

Universiti Utara Malaysia


-Disiarkan dalam sisipan Varsiti, Berita Harian edisi 15 September 2011


Thursday, September 8, 2011

TERIMA KASIH DAUN KELADI

Bukan mudah untuk menjadi penulis. Saya juga pernah terfikir bahawa berada dalam dunia penulisan juga punya gosip dan kontroversi seperti dunia artis. Bukan semua orang suka akan karya kita dan setiap tangan yang menulis itu punya caranya yang berbeza-beza.

Kita menulis untuk dibaca oleh khalayak masyarakat, dan bagi saya sia-sia sahaja menulis jika tujuannya bukanlah untuk dihidangkan kepada masyarakat. Oleh yang demikian, setiap kali mengirimkan karya, saya sematkan juga azam agar karya saya disiarkan. Paling mengembirakan pastinya apabila kita mengetahui, ada yang sudi membaca karya kita.

Melalui laman sosial Facebook oleh seseorang yang saya tidak kenal, lalu memperkenalkan dirinya sebagai seorang insan yang seringkali mengikuti karya-karya eceran saya melalui majalah dan akhbar. Sebagai bukti, dia telah menaip semula puisi-puisi saya dalam bentuk berilustrasi menarik.

Terima kasih ‘Ostwalt Argentum’ atas sokongan dan kesudian anda membaca serta mengumpul karya-karya saya.




Saturday, August 27, 2011

SALAM AIDILFITRI

Ketika saya menekan punat komputer ini, tinggal dua hari sahaja lagi untuk menyambut Aidilfitri 1432 Hijrah. Seperti tahun-tahun lalu, tahun ini saya mengirim lagi kad-kad raya sebagai tanda ingatan. Berbezanya cuma tahun ini saya mengirimnya pada pertengahan bulan puasa, tidak seperti kelazimannya saya mengirim pada awal bulan Ramadan.

Tahun ini sekali lagi saya mengirimkan kad raya yang reka bentuknya diilhamkan oleh saya dan dibantu oleh rakan bagi merealisasikannya. Semoga mereka yang memdapat kiriman saya ini dapat menyimpannya dengan baik. Terimalah kad raya dari saya ini sebagai ingatan perkenalan antara kita.

Terima kasih juga kepada yang mengirimkan kad raya kepada saya. Biarpun berjauhan, biarpun jarang berhubungan, tetapi tanda ingatan yang dikirimkan benar-benar membekas di sanubari.

Seikhlas rasa, saya memohon maaf atas keterlanjuran saya dan semoga Aidilfitri kali ini membawa seribu makna. Selamat menyambut hari raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin dari saya, Mohd Haniff Mohammad Yusoff

Friday, August 12, 2011

KAD RAYA 2011




Kad raya yang diterima pada tahun 2010


Kad raya peribadi pada tahun 2010



Inilah kad raya peribadi saya pada tahun 2011

PANDUAN PERMULAAN MENULIS

Bagi mereka yang ingin mencuba untuk menulis, tidaklah sesukar mana. Paling penting perlu sabar dan rajin belajar. Di sini saya kongsikan beberapa panduan sebagai permulaan untuk menulis.

1. MINAT – perlulah mempunyai minat dan melalui minat itu, bakat boleh diasah.

2. ALAT TULIS- mempunyai pen dan buku untuk catatan untuk membuat lakaran sebelum dipersembahkan dalam komputer anda.

3. MEMAHAMI KEHENDAK EDITOR- sebagai seorang penulis baharu, memahami konsep media sangat penting sebelum menghantar karya. Kita tidak boleh membuta tulis dalam menghantar karya. Oleh yang demikian, belilah majalah atau akhbar yang ada di pasaran.

4. MEMAHAMI ETIKA SEBAGAI SEORANG PENULIS- Jangan melihat dunia penulisan ini sesuatu yang remeh. Jangan salahkan sesiapa jika anda disenarai hitamkan editor.

5. RAJIN MEMBACA- Seorang yang ingin bergelar penulis harus rajin membaca dan harus juga selektif dalam memilih bahan bacaan. Bukan semua bahan bacaan dapat menjana pemikiran yang kritis.

Menulislah tanpa jemu dan sebagai penulis baharu, kita tidak boleh cepat melatah! Saya juga masih baru dalam bidang ini dan saya harap panduan ini memuaskan hati pada yang bertanya.

Thursday, August 4, 2011

TEMPE MALAYA : SATU PERMULAAN

Membaca cerpen adik-beradik Minggu Penulis Remaja 2009 khasnya di akhbar mingguan membuatkan saya benar-benar cemburu. Tahun ini saya rasa tamparannya hebat sekali. Bermula dengan Januari 2011, berderetan cerpen alumni MPR 2006 iaitu cerpen milik kak Ainunl Muaiyanah, abang Fairuz dan abang Zulfazlan disiarkan di akhbar. Seorang lagi yang saya kira cukup aktif tahun ini ialah abang Aidil Khalid (alumni MPR 2007-merangkap penghulu). Hebat betul mereka!

Tamparan bertambah terasa tentulah apabila membaca nama-nama yang cukup saya akrab semasa di MPR 2009 yang lalu. Tahun ini cerpen Siti Munirah, Amirul Hamudin, Nurul Farehah dan A. Muziru Idham sudah disiarkan di akhbar mingguan. Saya cuba menulis cerpen setelah asyik mengarang puisi dan cerpen ketiga saya ini disiarkan di Berita Minggu pada 31 Julai 2011 yang lalu. Alhamdulillah, ada juga karya yang disiarkan pada bulan Julai. Terdapat dua lagi cerpen dalam simpanan yang akan saya edit lagi untuk dihantar ke media. [Susah-memang susah untuk menulis cerpen sebenarnya].

Berbalik pada cerpen saya, ‘Tempe Malaya’, saya bukanlah menghidangkan tempe semata-mata. Idea menulis cerpen ini saya perolehi ketika perkataan ‘mantan’ dijadikan isu. Saya sedar banyak lagi yang perlu saya pelajari. Saya akui menulis itu bukanlah perkara yang mudah! Terima kasih kepada mereka yang telah membacanya. Terima kasih atas segala dorongan yang diberikan dan ‘Tempe Malaya’ adalah satu permulaan.



EDISI KHAS: AHLI SAHABAT BLOGGER CECAH 10000!

Tidak kenal maka tidak lahirlah rasa cinta. Ahli komuniti Sahabat Blogger di Facebook berterusan menerima ahli-ahli baharu. Paling mengujakan, jumlah ahlinya telah pun mencecah 10, 000 orang. Walaupun belum menjangkau usia setahun, Sahabat Blogger dilihat cukup pantas berkembang. Selain itu, cukup aktif mengadakan pelbagai acara dan mengumpul ahli-ahli Sahabat Blogger.

Tahniah diucapkan kepada pelopor komuniti Sahabat Blogger. Saya minta maaf sangat sebab tidak pernah pun sekali berkumpul bersama kalian dek kekangan yang membataskan. Insya-Allah, mungkin pada perjumpaan akan datang.

Melalui Sahabat Blogger, aku tidaklah sepopular yang lainnya. Sekadar jenguk bila ada masa dan jika ada rindu yang menyinggah. Di sana aku agak rapat dengan beberapa orang dan kami pun menjadi sahabat dan keakrabannya adakalanya sukar dipercaya kerana belum pernah bertentang mata.

Semoga hubungan kita berkekalan dan semoga kita bersua ya wahai sahabat-sahabat baharuku!~


Kembar yang juga dijumpai di Sahabat Blogger


Keluarga SKYPE yang asalnya berjumpa di Sahabat Blogger


Sahabat Blogger yang juga merupakan sahabat-sahabat UUM