Saya dan Interlok
Bukan untuk mengungkit kembali kisah ini, cuma baru berkesempatan untuk meluahkannya di sini. Novel Interlok seakan-akan menjadi popular pada penghujung tahun lalu dan awal tahun ini. Orang Sastera sibuk membicangkan perihal Interlok. Bukan itu sahaja, orang yang berada di luar lingkungan sastera juga cuba mendekati Interlok dan siapa penulisnya.
Nama Sasterawan Negara, Abdullah Hussain juga meniti di bibir masyarakat. Sekurang-kurangnya, masyarakat mengenali Sasterawan Negara selain A. Samad Said dan lebih peka terhadap dunia sastera Melayu.
Novel Interlok yang saya beli daripada Kak Nisah Haron telah pun saya khatam dan kesimpulannya, novel ini berkisar tentang latar belakang masyaratkat utama di negara ini. Bagi pemuda seperti saya yang tidak lahir lagi pada zaman kemerdekaan, dapat menyusur perlahan-lahan perjalanan novel ini dari muka surat ke muka surat yang lain.
Memperincikan kisah tiga orang yang berlainan bangsa iaitu Seman, Ching Huat dan Maniam. Penulis begitu teratur menyampaikan cerita setiap daripadanya dan saya dapat merasakan begitulah realiti masyarakat pada zaman dahulu- orang Melayu umpamanya tidak suka menyekolahkan anaknya dan lebih suka menghantar anak mereka belajar mengaji sahaja.
Membaca novel ini juga mengingatkan saya pada gagasan 1 Malaysia. Perpaduan dan tolak ansur antara masyarakat yang berlainan bangs abukanlah perkara yang baharu dan tautan itulah yang perlu kita pertahankan. Novel ini juga menyedarkan betapa nikmatnya kemerdekaan yang kita kecapi.
Tidak perlu rasanya mempolitikkan novel ini. Tiada apa yang perlu dibangkitkan. Sejarah tetap sejarah dan kita tidak boleh mengubahnya. Ayuh, membanyakkan amalan membaca novel tulisan Sasterawan Negara!

