Saturday, April 30, 2011

AKTIVITI SASTERA DI UUM


Perlayaran saya di Universiti Utara Malaysia hampir ke penghujungnya. Sewaktu di universiti, saya turut membabitkan diri dalam bidang penulisan dan sastera. Berikut merupakan sebahagian daripada penglibatan saya:

Aktiviti:

1. Menyertai Sayembara Puisi Pusat Budaya dan Seni 2008

2. Menyertai Sayembara Puisi Sempena Konvokesyen ke-22 UUM

3. Menyertai Pesta Pantun Piala TNC 2009

4. Peserta Seminar Puisi Melayu Nusantara

5. Ahli jawatankuasa dan fasilitator program Tunas Sastera Pusat Budaya dan Seni bersama SMK Pulau Nyior.

6. Peserta Bengkel Puisi Moden bersama Puzi Hadi

7. Pengacara Majlis dan ahli jawatankuasa Seminar Penulisan Novel Tarikan Penamu bersama Nisah Haron dan Azizi Hj. Abdullah anjuran UUM/GPMS UUM/DBP Wilayah Utara.

8. Ahli jawatankuasa Bengkel Penulisan Novel Tarikan Penamu bersama Nisah Haron anjuran UUM/Persatuan Bahasa Melayu UUM/DBP Wilayah Utara.

Kejayaan/Pencapaian:

1. Naib Johan Pertandingan Menulis Cerpen Perkampungan Puisi I 2008

2. Johan Pertandingan Menulis Cerpen Bulan Asimilasi Budaya dan Akademik I 2010

3. Johan Pertandingan Menulis Cerpen Bulan Asimilasi Budaya dan Akademik II 2011

4. Anugerah Khas Juri: Rangkap Pantun Boria Terbaik UUM Cultural Festival 2011

Dijemput untuk menjadi pengadil:

1. Pertandingan Mendeklamasikan Sajak Bulan Asimilasi Budaya dan Akademik I 2010

2. Pertandingan Mendeklamasikan Sajak Bulan Asimilasi Budaya dan Akademik II 2011

3. Pertandingan Akhir Debat Piala TNC 2010

4. Sayembara Puisi anjuran DPP Yayasan Al-Bukhari 2010

5. Sayembara Puisi anjuran DPP Telekom Malaysia 2011


Friday, April 29, 2011

PBAKL-2011 (HARAPAN TINGGAL HARAPAN)

Saya lupakan hasrat menerjah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011 (PBAKL2011). Banyak kekangan yang saya alami dan saya capai keputusan muktamad untuk tidak ke sana, biarpun mengidam merasai nikmat membeli-belah di sana. Sebelum ini, saya begitu teruja kerana saya dikhabarkan tentang sesuatu berita gembira yang berkaitan dengan saya dan PBAKL 2011, namun harapan tinggal harapan dan akhirnya saya yang kecewa. Saya lupakan perihal tersebut agar hati tidak terus meratap dan berharap lagi!!!



Thursday, April 28, 2011

ANUGERAH TERINDAH



Saya akan tinggalkan jejak-jejak kenangan di sini

Dalam bilangan beberapa hari sahaja lagi

Biarpun air yang mengalir itu jernih pada asalnya

Dan penghujungnya menjadi keruh

Itu semua adalah citra hidup yang indah

Apakala di penghujung ini, rasa pantasnya masa berlalu

Tiga tahun menimba ilmu di sini

Akhirnya menghampiri hari-hari terakhir.

Hati saya bertambah sayu

Untuk meninggalkan sisa kenangan yang tercipta

Dengan insan-insan yang selalu di belakang saya

Menongkat saya saat saya rebah

Memimpin saya saat entah ke mana perginya semangat

Merekalah yang saya namakan cinta-cinta saya

Maafkan saya

Atas segala kekhilafan saya

Tidak pernah terbayang di hati saya

Untuk menidakkan kalian dalam diri ini

Sudah terpahat di sanubari

Antara kita punya cinta padu

Yang mana mungkin akan berkecai

Terima kasih terima kasih terima kasih

Kerana pernah hadir dalam hidup saya

Terima kasih Ya Allah,

Kerana menganugerahkan mereka

Buatku….

~Mohd Haniff Mohammad Yusoff




Monday, April 18, 2011

SAYA SAYANG SEKOLAH SAYA!

Saya bangga dengan sekolah saya! Setiap insan perlu berbangga dengan sekolah mereka, tidak kiralah apa jua status sekolah masing-masing. Saya ingin kongsikan dengan pembaca dengan sekolah menengah saya. Saya ada bersekolah tiga sekolah menengah iaitu SMK RAJA CHULAN, IPOH PERAK, SMK SULTAN YUSSUF, BATU GAJAH PERAK dan KOLEJ SULTAN ABDUL HAMID, ALOR SETAR KEDAH. Perasan tak setiap pangkal nama sekolah saya? Fokus saya hanya dua sekolah sahaja dalam catatan kalia ini kerana saya hanya sempat sebulan sahaja bersekolah di sekolah yang pertama. Mungkin secara kebetulan, kedua-dua sekolah yang berikutnya sememangnya sekolah diraja di negeri Perak dan Kedah. Sememangnya itulah sekolah yang pernah menjadi tempat pengajian Sultan Perak dan Sultan Kedah yang sedang memerintah sekarang. Apabila berada di kedua-dua sekolah ini, tiap-tiap tahun dapat berjumpa dengan Sultan. Oleh kerana sudah terbiasa dengan keadaan sekolah di SMK SULTAN YUSSUF, kebimbangan mula menghantui apabila mendaftarkan diri di KOLEJ SULTAN ABDUL HAMID. Namun, disebabkan banyak persamaan dengan sekolah lama, jadi saya tidak kekok untuk menyesuaikan diri. Paling menarik, SMK SULTAN YUSSUF diasakan pada tahun 1907 dan KOLEJ SULTAN ABDUL HAMID pula diasaskan pada tahun berikutnya, 1908. Walaupun sudah lama meninggalkan alam persekolahan, saya masih merindui saat manis berbaju putih berseluar hijau!










Saturday, April 9, 2011

MAAF YANG KAU PINTA


Aku masih bertanya sendiri
mengapa kau terus pergi
meninggalkanku sepi
tanpa sebarang nota hati.

Akhirnya kau suarakan kemaafan
tanpa aku rasai kebimbangan
yang kau tanggung
aku jadi bingung
kerana maaf yang kau pinta
bukan untuk diriku.

Bagaimanakah harus kusambut maafmu
jika hati ini tidak pernah dilukai
Bagaimanakah harus kukatakan lagi
kembalilah bersamaku
menyusun kuntum ukhwah seperti dulu.

[Jika ada masalah yang ditanggung, leraikanlah satu persatu. Percayalah pada Yang Satu]
Luahan rasa ini untukmu...