Saturday, October 30, 2010

CINTAKU



Cinta saya pada bahasa Melayu telah lama berputik. Sejak di bangku sekolah rendah lagi saya sudah menyukai bahasa Melayu. Saya juga cuba berbahasa dengan betul apabila bersemuka dengan kawan-kawan. Masih saya ingat, ketika di pra-sekolah, saya pernah dianugerahkan Perkembangan Bahasa Terbaik. Bertahun-tahun saya mencari jawapan mengapa anugerah itu yang saya terima. Tahun sebelumnya (dua tahun di pra-sekolah), saya dianugerahkan Kebersihan Terbaik, berbeza pula pada setahun selepas itu.

Memasuki darjah empat, barulah saya merasakan saya benar-benar cintakan bahasa Melayu. Saya sudah mula meminati penulisan. Sudah mula tanpa segan silu bercerita di hadapan kelas. Apabila di sekolah menengah, cinta saya masih belum pudar. Saya mendapat markah tertinggi di dalam kelas untuk subjek bahasa Melayu semasa di tingkatan satu. Semasa di tingkatan empat dan lima, saya seringkali mendapat markah yang tertinggi. Paling tinggi, saya perolehi 110 markah per 130 markah (kalau tidak silap) ketika itu. Saya teruskan kecemerlangan itu sehingga saya memperolehi markah tertinggi di sekolah pada peringkat Percubaan SPM 2005.

Sewaktu di peringkat prauniversiti, saya merasakan agak sukar untuk mendapatkan A dalam genggaman. Maklumlah, guru saya memang teliti orangnya, dia merupakan munsyi Dewan . Memang dia tidak memberikan gred A kepada kami tetapi Alhamdulillah, saya masih berada dalam kelompok terbaik. Alhamdulillah saya perolehi A (4.00) untuk subjek bahasa Melayu STPM 2007 sekali gus merealisasikan impian saya untuk peroleh A untuk subjek bahasa Melayu dalam peperiksaan awam

UPSR

BAHASA MELAYU PEMAHAMAN = A

BAHASA MELAYU PENULISAN = A

PMR

BAHASA MELAYU = A

SPM

BAHASA MELAYU = A1

STPM

BAHASA MALAYSIA (SAYA LEBIH SUKA MENGGGUNAKAN ISTILAH ‘BAHASA MELAYU’) = A (4.00)

Tercapai juga impian saya untuk melengkapkan kecemerlangan saya dalam bahasa Melayu. Bahasa Melayu adalah darah daging kita, jadi janganlah merungut mengatakan susah. Sempena bulan Bahasa Kebangsaan pada bulan ini, sama-samalah berazam untuk memartabatkan bahasa Melayu.








GEDUNG YANG MEMBERIKU NAFAS CITA-CITA

Sudah beberapa tahun saya meninggalkan alam persekolahan. Alam persekolahan sememangnya meninggalkan banyak kenangan sebelum mengerti erti dewasa. Saya ingin memperkenalkan sekolah-sekolah saya yang saya sayangi. Usai sahaja pra-sekolah, emak membawa saya pulang ke Ipoh untuk meneruskan persekolaha di Ipoh pula kerana saya tinggal bersama tok dan tok wan saya ketika pra-sekolah selama dua tahun di Kedah. Dari darjah satu sehingga darjah enam, saya bersekolah di SEKOLAH KEBANGSAAN TAMBUN, IPOH PERAK.

SEKOLAH KEBANGSAAN TAMBUN IPOH, PERAK.

Pada mulanya agak kekok melihat mereka yang tidak saya kenali. Saya hanya berkawan dengan kawan-kawan yang tinggal berhampiran dengan rumah saya sahaja. Maklumlah, saya berprasekolah di Kedah. Biasalah pada permulaan sahaja, apabila sudah saling mengenali, riuh juga kelas dibuatnya. Di sekolah ini saya mengenali erti persahabatan. Alhamdulillah, kami masih berhubung sehingga kini. Sebenarnya, masing-masing membawa haluan sendiri selepas tamat sekolah rendah. Rata-rata mendapat tawaran ke sekolah berasrama, sama ada sekolah berasrama penuh ataupun sekolah asrama harian.

SMK RAJA CHULAN IPOH, PERAK.

Secara automatik, kami yang bersekolah di SEKOLAH KEBANGSAAN TAMBUN akan didaftarkan ke SMK RAJA CHULAN (kini tidak lagi kerana telah wujud SMK TAMBUN dan juga SEKOLAH KEBANGSAAN RAJA CHULAN). Tidak banyak yang dapat saya kongsikan kerana hanya sebulan sahaja saya di sini. Walau bagaimanapun, saya tetap menyayanginya kerana, walaupun sebulan, saya tetap menimba ilmu di situ.

SMK SULTAN YUSSUF, BATU GAJAH PERAK @ SULTAN YUSSUF SCHOOL (SYS)

Setelah mendapat surat tawaran, hati saya gundah gulana untuk menerima tawaran tersebut. Maklumlah terpaksa berjauhan dengan keluarga. Akhirnya saya membuat keputusan untuk menerima demi masa depan yang lebih gemilang. Selama lima tahun saya di sini , banyak sudah yang telah saya timba sebagai pelajar asrama. Menjadi sebahagian daripada Yussufian cukup membanggakan. Maklumlah, siapa yang tidak bangga berada di sebuah sekolah yang ditakrifkan sebagai sekolah premier dan juga sekolah di raja?

KOLEJ SULTAN ABDUL HAMID, ALOR SETAR KEDAH.

Usai sahaja SPM, saya sekeluarga berpindah dan menetap di Kedah. Saya bertekad untuk meneruskan pengajian di peringkat STPM. Asalnya, saya ditawarkan sekolah yang lama, jadi saya minta ditukarkan ke Kedah dan Jabatan Pelajaran Negeri Kedah menawarkan saya sebuah sekolah yang cukup gah, Kolej Sultan Abdul Hamid. Berada di tengah-tengah pekan serta berada pada statusnya yang tersendiri membuatkan saya bimbang jika tidak dapat menerima persekitarannya. Alhamdulillah, sekolah ini persis sekolah saya yang sebelumnya, berstatus sekolah premier juga sekolah di raja. Cuma kali ini di negeri Kedah. Persekitarannya juga tidak banyak bezanya.

Thursday, October 28, 2010

BERAKHIRNYA SEMESTER LIMA

Semalam, 28 Oktober 2010 merupakan hari terakhir kuliah untuk semester ini. Pantasnya masa berlari. Terasa sekejapnya perjalanan kehidupan di Sintok ini. Semester depan adalah semester terakhir saya. Banyak sudah yang telah saya akrabi sejak bergelar mahasiswa universiti.

Bukan mudah untuk menjadi seorang mahasiswa universiti kerana banyak cabarannya. Biarlah ianya menjadi kenangan dalam hidup. Menghampiri penghujung pengajian membuatkan hati saya tertanya-tanya, adakah saya sudah bersedia untuk bersemuka dengan hari-hari mendatang?

Friday, October 22, 2010

NOVEL-NOVEL TERBARU TULISAN MANTAN MPR 2009

Menjadi sebahagian daripada keluarga MPR 2009 membuatkan saya cukup gembira kerana di kelilingi mereka yang berkongsi minat dengan saya. Hampir setahun sudah perkampungan kami dan saya tidak menjangka, keluarga kami begitu tekun mengarang. Bukan setakat karya eceran yang disiarkan dalam majalah-majalah dan akhbar-akhbar tempatan, tetapi juga mempunyai novel sendiri. Setakat ini, mantan perempuan terlebih dahulu melangkah bergaya dengan novel masing-masing. Mantan lelaki, belum seorang pun lagi yang melahirkan novel sulung, tetapi ke arah itu sebenarnya. Jadi, tunggu dan lihat.

Ilya Alias, kembali dengan siri O.T.A.I nya selepas menghasilkan 'Pari-Pari Hati', dan 'O.T.A.I Lawan Jadi Kawan'. Kali ini tampil dengan 'O.T.A.I Tunjuk Bakat'. Bakal guru ini merupakan anak sulung dan kini bakal melengkapkan pengajiannya.




Seterusnya, saya ingin menyetuh mengenai novel terbaru daripada Siti Munirah Abdul Rashid. Saya melihat Munirah begitu tekun menukang karya yang lebih serius temanya. Kualiti novelnya juga tidak boleh dipertikaikan. Novel pertamanya, 'Perindu Pelangi' mendapat maklum balas yang positif. Kali ini beliau tampil dengan 'Qasidah untuk Kekasih'. Saya sukakan kulit novel ini. Cantik.



Novel sulung beliau selamat dilahirkan beberapa hari yang lalu. Nurul Farehah Jaamad yang saya kenali antara paling konsisten menulis selepas pulang dari perkampungan MPR 2009. Saya yang lebih mesra memanggilnya Effa, ingin mengucapkan tahniah atas kelahiran 'Pengawas Sekolah'.



DAPATKAN SEGERA DI PASARAN!!!

SELAMAT MAJU JAYA KELUARGA MPR 2009!!!

Thursday, October 7, 2010

GAZA MENGUCUP AIDILFITRI


GAZA MENGUCUP AIDILFITRI

Takbir indah tetap bergema

membawa sinar bahagia

di sebalik teriak tangis Gaza.


Syawal jengah mesra

penuh santun runtun sukma

disapa salam bersambut

rindu mekar bertaut

sejagat Gaza sujud syukur

mencium wangian nikmat.


Gaza tetap mengucup Aidilfitri

biarpun derita mencemburui.


MOHD HANIFF MOHAMMAD YUSOFF

-Sintok, Kedah.

MINGGUAN MALAYSIA, 26 SEPTEMBER 2010