Friday, May 14, 2010

Keluarga MPR 2009 ; TERUSKAN SERIOSA GEMILANG KITA !!!

Salam pertemuan sekali lagi. Sukar rasanya untuk mencuri sedikit masa untuk meluahkan segala rasa yang terpendam di sini. Saya bukanlah seorang yang rajin berblog. Kali ini saya ingin meninggalkan catatan di sini mengenai Keluarga MPR 2009. Alhamdulillah, setelah menjadi graduan MPR 2009, banyak juga karya kami yang mendapat tempat di media.

Saban bulan, ada sahaja karya keluarga kami yang disiarkan di media. Sebagai contoh, media yang pernah menyiarkan karya ahli Keluarga MPR 2009 selepas kami bergelar mantan MPR ialah Dewan Siswa, Tunas Cipta, Dewan Bahasa, e@siswa, Fokus SPM, Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Berita Harian dan Harian Metro. Meriah sungguh keluarga kami. Paling menonjol adalah pada bulan Februari dan April yang lalu. Harapnya selepas ini banyak lagi karya keluarga kita disiarkan di media.

Siapa tidak gembira jika karya sendiri disiarkan di media. Menjadi tatapan pembaca-pembaca lain. Walau bagaimanapun, kita tidak boleh cepat berpuas hati dengan apa yang kita perolehi setakat ini. Masih ingat tajuk utama esei bulan Februari Tunas Cipta hasil tulisan Syukri Sapuan? Ya, MPR 2009; Perjalanan Kami Masih Jauh. Masih jauh lagi perjalanan kita kerana perjalanan kita baru sahaja bermula. Masih banyak lagi kelemahan yang perlu kita perbaiki dan banyak lagi ilmu yang perlu kita tekuni.

Sebagai seorang penulis, kita memegang amanah yang berat untuk menyalurkan ilmu serta pengajaran buat pembaca. Sebagai graduan MPR, kita menggalas tanggungjawab untuk terus mengharumkan nama MPR. Ayuh, kita teruskan usaha menukang karya. Semoga rentak karya kita yang mendapat tempat di media berterusan dan tidak gemilang hanya di awal permulaan selepas bergelar mantan MPR .

Teruskan menulis, teruskan rentak gemilang Keluarga MPR 2009!!!





Monday, May 10, 2010

HATI MULIA- Selamat Hari Ibu !!!

‘HATI MULIA’

Terpendam segala rasa di tasik jiwa. Tersimpan segala rahsia di lubuk sukma. Tidak pernah sesekali insan berhati mulia ini meluahkan segala yang tersimpan di hati. Baginya, biarlah dirinya sendiri yang menanggung derita, asalkan anak-anak melalui kehidupan yang selesa.

Terciptanya insan berhati mulia ini untukku dan adik-adikku. Dalam teratak kami, hanya emak golongan hawa. Emak menguruskan segala tugasan rumah seperti menyapu, mengemas, membasuh dan menyediakan makanan. Cukup kental dirinya melakukan segalanya dengan sendiri. Pernah dulu emak mengambil upah mengasuh anak orang lain dan membuat kuih. Semuanya untuk meringankan beban ayah dan memenuhi keperluan kami adik-beradik. Pernah juga dimaki hamun dan dicaci. Semuanya gara-gara emak mengamalkan ‘amar makruf nahi mungkar’. Semoga Allah senantiasa melindungi emak dan hati emak dari terguris lagi.

‘Syurga di bawah telapak kaki ibu’ merupakan ungkapan yang cukup bermakna. Tidak sesekali kubiarkan hatinya terluka lagi. Hati emak, hati mulia. Akan kubalas jasa-jasamu. Kini aku telah berada di menara gading berkat pengorbanan tulus,doa kudus dan hati mulus emak.


Coretan di atas merupakan luahan hati saya sewaktu menyertai peraduan Ungkapan Sempena Hari Ibu Dewan Siswa 2009 yang lalu dan dipilih sebagai salah seorang pemenang hadiah saguhati. Setiap ungkapan yang saya coretkan di atas bukanlah sekadar coretan semata-mata. Saya kagum dengan emak saya yang membesarkan saya dan adik-adik. Perjalanannya ada likunya. Saya pernah menangis sendiri apakala mengenangkan diri emak pernah dimaki hamun tatkala mengamalkan amar makruf nahi mungkar. Biarlah saya rahsiakan perkara itu kerana bimbang mengaibkan orang lain. Paling menyedarkan saya, hanya emak bergelar hawa dalam rumah tetapi mampu melakukan tugas rumah dengan baik. Selamat hari ibu kepada CHE ROGAYAH HUSSIN, emak saya yang amat saya sayangi.

Sunday, March 28, 2010

TUNAS CIPTA APRIL 2010


PUISI KELUARGA MPR 2009 DALAM TUNAS CIPTA APRIL 2010;

'CERMIN KEAMANAN '- Nur Ilyani Bt Alias.

'ILMU' - Mohd Rashedi Abd. Ghani.

'KELANA DI TENGAH SAHARA JIWA' - Ahmad Muziru Idham Bin Adnan.

'BICARA CINTA SEORANG HAMBA' - Mohd Haniff Bin Mohammad Yusoff.

22 TAHUN MENGHIRUP HAWA KENIKMATAN ALAM!!!



Sebenarnya, saya agak sibuk sejak memasuki semester keempat pengajian di universiti. Sehingga sekarang, masih terdapat tugasan yang belum saya selesaikan. Baru hari ini saya berpeluang untuk meninggalkan catatan di sini berkaitan ulang tahun kelahiran saya yang ke-22 pada tanggal 25 Januari yang lalu. Tidak seperti tahun lalu, tahun ini tarikh itu jatuh ketika saya di kampus. Oleh yang demikian, saya tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk merasai nikmat kek hari lahir kali ini, tambahan pula kesibukan yang menghimpit.

Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang mengingati tarikh ulang tahun kelahiran saya yang ke-22 lalu. Terima kasih kepada mereka yang mengirimkan ucapan melalui laman sosial 'Facebook' dan juga khidmat pesanan ringkas (sms).

Berbalik pada tanggal 25 Januari 2010...saya tidak menyangka, ada kejutan yang akan saya terima. Dalam kesibukan menyiapkan tugasan bersama teman, saya dipanggil oleh rakan sebilik. Ada kejutan yang telah dirancang olehnya dan rakan-rakan yang lain. Saya kira diri saya cukup bertuah kerana ada juga yang sudi untuk meraikannya. Paling saya terharu, ada kek untuk saya. Betambah terharu, ada hadiah untuk saya. Terima kasih diucapkan kepada mereka. TERIMA KASIH!!!



Thursday, March 11, 2010

KEWARASAN MATI



Gersangnya laman iman
bayi tiada dosa jadi mangsa
kontangnya wadi perasaan
anak kecil dibunuh tanpa kasihan
debunga kasih berguguran
kala nafsu menjajah kewarasan.

Beginilah,
masyarakat akhir zaman
langsung tiada pedoman.


MOHD HANIFF MOHAMMAD YUSOFF
UNIVERSITI UTARA MALAYSIA, SINTOK, KEDAH.

BERITA MINGGU,
AHAD, 28 FEBRUARI 2010

AYUH, BERSIMPUH DI LAMAN TIMUR!

Dunia tanpa sempadan

mengikis santun

warisan temurun

resmi kita

orang Timur.


Budaya Barat

makin disanjung

adat pusaka

kian ditinggal jauh.


Jangan terus tunduk

pada hipokrit dunia

jangan terus alpa

pada agama

kelak,

sirna tamadun.


Ayuh,

kembali pada akar budaya

bersimpuh di laman Timur!


MOHD HANIFF MOHAMMAD YUSOFF

ALOR SETAR, KEDAH

MINGGUAN MALAYSIA,

AHAD, 14 FEBRUARI 2010

INSAN TERCIPTA

Orang lain kumpul wang berjuta
dia mewah budi bahasa
orang lain budaya Barat dipuja-puja
dia menjunjung adat warisan pusaka.

Orang lain bertikam lidah
dia bangun menentang balah
orang lain mengumpat mengata
dia bangkit membela bangsa.

Baginya,
resmi padi tersemat di hati
semakin berisi
semakin menyembah bumi
luhur budi jua pekerti
mendaulatkan agama
mempertahankan pertiwi.

MOHD HANIFF MOHAMMAD YUSOFF
UUM, KEDAH.

MAJALAH DEWAN SISWA FEBRUARI 2010

nota kaki; terima kasih atas teguran daripada Kak Sayidah Mu'izzah Kamarul Syukri terhadap puisi ini sebelum diedit dan dihantar ke majalah Dewan Siswa.

CERITERA LEMBAH SINTOK

Dahulu,
lembah ini
adalah tanah sejarah
tumpah darah pahlawan berjasa
menggenggam keris tumpah setia
menghunus jasad penjajah durjana.

Kini,
lembah ini
jadi tumpuan
galian ilmu jadi sasaran
membangun
membina
melahirkan
modal insan.

Kini,
UUM
berdiri teguh
di lapangan Sintok
memacu budaya ilmu
memartabatkan anak bangsa!


MOHD HANIFF MOHAMMAD YUSOFF
Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa,
Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS)
UUM, Sintok, Kedah.

Sisipan Varsiti Berita Harian,
Khamis, 4 Februari 2010

RENCANA APAKAH YANG MELANDA

Aku tertanya-tanya
rencana apakah yang melanda
sensitiviti kaum dibakar
tanpa rasa salah
menyalakan api amarah setiap jelata.

Rencana apakah yang melanda
bukankah kita Satu Malaysia
saling menghormati diakari
budi bahasa ditunjangi
biarpun berbeza etnik
berbeza pegangan hati.

MOHD HANIFF MOHAMMAD YUSOFF
UUM, Sintok, Kedah.

BERITA MINGGU,
AHAD, 31 JANUARI 2010.

Wednesday, February 24, 2010

JADILAH PEMINAT, PEMBACA DAN PENYUMBANG YANG SETIA !!!


Saya mendapat ilham untuk kongsikan catatan ini berdasarkan rengetan adik-adik saya yang mengeluh karya-karyanya tidak disiarkan. Secara jujurnya, memang kita termasuklah saya mengharapkan karya yang kita hantar ke media disiarkan. Pernahkah kita terfikir bahawa, saban hari pihak editor menerima berpuluh-puluh, beratus-ratus dan adakalanya berguni-guni pucuk surat. Timbunan surat-surat itu semakin bertambah apabila tibanya musim-musim cuti dan adanya peraduan-peraduan yang dianjurkan. Kita tidak boleh membuat tanggapan bahawa bukti penghantaran karya adalah bukti penerimaan! Harus diingat, bukan kita sahaja mengirimkan karya ke media. Adik-adik, sahabat-sahabat, saya mengesyorkan agar anda menjadi peminat setia sesuatu majalah. Peminat setia yang saya maksudkan ialah, setiap bulan anda akan cuba untuk mendapatkannya tanpa memikirkan sama ada karya anda disiarkan ataupun tidak. Sebenarnya, cara ini adalah bukti sokongan anda terhadap majalah tersebut. Istilah peminat setia sudah cukup untuk menggambarkan bahawa anda sememangnya menantikan majalah tersebut setiap keluaran tanpa pernah jemu. Apabila sudah menjadi peminat setia, manfaatkan majalah yang sudah dibeli untuk ditatapi dan dibaca. Pelbagai ruangan, makalah dan ilmu yang terkandung di dalamnya. Apalah gunanya kita membeli tanpa membacanya. Jadilah pembaca yang setia di mana, anda mempunyai ruangan kegemaran dan sudah mengenali isi kandungan majalah tersebut secara lebih dekat. Secara tidak langsung, anda boleh mengemukakan pandangan dan cadangan untuk dikongsikan bersama. Cadangan yang diutarakan mungkin boleh ditimbang tarakan oleh pihak editor untuk penambahbaikkan majalah tersebut. Kepada yang suka berkarya, hantarlah karya anda tanpa rasa jemu. Jangan pernah jemu untuk menulis dan menyumbangkan karya ke majalah. Sama ada terpilih untuk disiarkan atau tidak, itu bukanlah persoalannya. Paling signifikan, anda menghantar karya anda. Berdasarkan pengalaman saya, ada juga karya saya yang disiarkan setelah berusia setahun dihantar. Tahukah anda bahawa editor amat mengenali penyumbang karya-karya terhadap majalah mereka jika anda sering menghantar karya anda tanpa jemu. Saya juga ingin menasihatkan anda agar membaca karya-karya orang lain yang disiarkan agar dapat melihat kelemahan pada karya sendiri. Kalau boleh, menulislah untuk pelbagai ruangan yang terdapat dalam majalah tersebut agar dapat melatih penulisan anda. Mulai saat ini, jadilah peminat, pembaca dan penyumbang yang setia. Jangan lagi asyik merungut apabila karya tidak disiarkan, sebaliknya terus menulis, menulis dan menulis.

Semoga anda beroleh manfaat daripada catatan saya ini.
=)