Sunday, November 22, 2009

SEMINAR PENULISAN NOVEL TARIKAN PENAMU UUM/GPMS caw.UUM/DBP


Ingin saya kongsikan di sini sebuah pengalaman yang amat menarik yang pernah saya alami berkaitan SEMINAR PENULISAN NOVEL TARIKAN PENAMU anjuran UNIVERSITI UTARA MALAYSIA (UUM), GABUNGAN PELAJAR MELAYU SEMENANJUNG (GPMS) cawangan UUM dan DBP WILAYAH UTARA.

Pada asalnya, saya tidak tahu-menahu langsung berkaitan seminar atau program ini, sehinggalah seorang sahabat saya menanyakan kepada saya sama ada saya mahu atau tidak menjadi MC untuk sebuah program berkaitan penulisan novel. Terus saya menyatakan persetujuan. Waktu itu, hanya dua perkara sahaja yang terlinta di fikiran saya iaitu,pertama ianya merupakan peluang kepada saya sebagai MC. Minat yang ada harus dikembangkan. Kedua, ianya berkaitan novel, pastinya banyak ilmu yang dapat saya pelajari.

Saya telah mendapat panggilan telefon daripada pengarah projek iaitu Kak Fadzilah meminta kepastian daripada saya. Saya menyatakan minat namun tidak berjanji sepenuhnya, bimbang tarikh yang diberikan bertembung dengan tarikh-tarikh yang penting.

Menghampiri tarikh program, saya menyatakan kepastian untuk menjadi MC pada hari itu.
Kak Farah selaku AJK Protokol, telah menyiapkan teks untuk saya. Kak Farah cukup baik terhadap saya.

Malam sehari sebelum program, usai sahaja kelas malam, kak Farah dan beberapa lagi AJK menjemput saya ke tempat akan belangsungnya program untuk acara raptai.
Terus-terang saya katakan di sini bahawa saya tidak mengenali seorang pun daripada mereka. Mereka semua ialah senior daripada saya. Mereka menyatakan saya sebagai pengerusi majlis yang bagus cuma perlu diperbaiki untuk lebih mantap pada hari sebenarnya.

Esoknya, saya segak berbaju Melayu biru. Saya juga dilayan sebagai VVIP oleh semua AJK program. Terima kasih pada abang-abang dan kakak-kakak yang melayan saya dengan baik.

Saya juga terasa teruja sangat kerana penceramah pada hari itu ialah Puan Nisah Haji Haron dan Pak Azizi. Pelbagai ilmu yang telah dicurahkan oleh mereka berdua. Banyak yang telah saya pelajari daripada mereka. Saya juga tidak melepaskan peluang menanya soalan pada Puan Nisah. Saya juga amat terkejut kerana Puan Nisah menyatakan bahawa dia pernah membaca tulisan saya dalam majalah.

Saya berkesempatan menjamu selera tengah hari dengan Pak Azizi dan Puan Nisah Haji Haron. Banyak yang kami bualkan. Saya juga merisik mengenai MPR 2009, kalau-kalau Puan Nisah merupakan salah seorang tenaga pengajar kali ini. Puan Nisah kata, masih belum ada apa-apa lagi. Puan Nisah juga menyatakan sertailah apa jua seminar atau bengkel yang ada. Timba ilmu yang ada.

Saya juga sempat bergambar dengan Puan Nisah, membeli buku kumpulan cerpen beliau dan mendapatkan tandatangan daripada beliau.

Hari itu cukup bermakna bagi saya. Terima kasih kepada abang-abang dan kakak-kakak yang melayan saya dengan baik. Terima kasih atas peluang yang diberikan.

JANJI MIFTAHUL RAUDHAH


Saya sudah lama mengenali penulis muda ini melalui tulisannya di majalah-majalah. Puisi-puisinya sering kali mendapat komen positif dari abang Faisal Tehrani dalam Dewan Siswa. Perasaan ingin berkenalan dengan insan ini kian menebal dalam diri saya. Saya berusaha mencari laman sosialnya di internet. Alhamdulillah, kini saya telah berhubung dengannya melalui internet.

Saya juga menyimpan hasrat untuk memiliki novel pertama beliau yang bertajuk 'Janji Miftahul Raudhah' Puas saya mencari di pekan Alor Setar tapi tidak jumpa.
Memang hampa.

Tapi kehampaan itu terubat juga apabila saya menemui novel ini di salah sebuah gerai di tapak ekspo konvo UUM. Terus saya beli tanpa banyak bicara. Sekarang, saya sudah memiliki novelnya dan penulis novel ini yang lebih gemar disapa sebagai eja minta komen dari saya terhadap novelnya.

-Nanti saya komen novel kak eja ni ya....-
=)

EKSPO PENUTUPAN KONVO UUM


Salam Satu Malaysia ! Setelah sekian lama tidak mencoretkan kisah di sini, rindu untuk menulis di blog dan berkongsi pengalaman membuak-buka di dada. Setelah usai peperiksaan akhir semester, dapatlah saya sedikit ruang untuk menulis di sini. Catatan kali ini berkisar Ekspo Penutupan Konvo UUM. Malam itu saya dikehendaki menghadiri Ekspo Penutupan Konvo kerana terlibat dengan integrasi pada malam itu yang menyumbang sebanyak 15 % untuk markah aktiviti kokurikulum saya. Malam itu merupakan malam kemuncak dan terdapat persembahan oleh artis-artis popular yang dibawa oleh pihak majalah MEDIA HIBURAN dari KARANGKRAF. Setelah mengambil kehadiran, saya dan beberapa orang teman melawat ke gerai-gerai yang dibuka. Saya juga tidak melepas peluang menaiki buaian pusing. Huh..tingginya. Tiba-tiba terasa gayat apabila buaian berhenti betul-betul di tahap yang tertinggi.

Saya juga sempat membeli burger ikan pada malam itu. Selalunya kita hanya pernah merasai burger ayam dan daging sahaja. Saya pun mencubanya beberapa orang teman yang lain. Dagingnya lebih lembut dan enak. Satu pengalaman yang baru.

Tatkala sedang asyik menjamah burger ikan, saya mendengar suara pengacara pentas persis seorang personaliti yang amat saya kagumi. Ya...tidak silap lagi. Dialah orangnya. Abang Muaz, dj radio Muzik FM. Saya betul-betul meminati suara dan gaya pengacaraannya. Dia juga merupakan pengacara di RTM. Tidak sangka pula dia mengemudi acara persembahan artis pada malam itu. Esoknya, saya terus memberitahunya di Facebook bahawa saya juga ada pada malam itu. Dia menghantar komentar di facebook saya bahawa tidak tahu pula saya merupakan penuntut UUM. Kalau tidak tentu dapat berjumpa. Baiknya abang Muaz nie.

Pada malam itu juga, saya mengajak kawan saya Hazlinda ke gerai majalah Karangkraf. Mungkin ada majalah yang boleh saya beli untuk di bawa pulang. Mereka memberikan diskaun untuk membeli majalah di situ. Saya pun membelinya. Dengan hanya RM 5, kami diberi 5 majalah yang berlainan dan salah satunya merupakan majalah MEDIA HIBURAN edisi minggu itu. Saya dan Hazlinda disuruh untuk bergambar dengan majalah MEDIA HIBURAN. Saya pun posing habis dan gambar kami telah disiarkan dalam MEDIA HIBURAN, 2 minggu selepas itu (cover pelakon-pelakon NUR KASIH). Huhu...mungkin melihat saya yang begitu aktif bertanya persis seorang wartawan dan tidak jemu-jemu bertanya mengenai karangkraf, seorang wartawan MEDIA HIBURAN, abang Sudyrman terus memberi kad nama karangkrafnya. Seronok sangat apabila dapat bersembang dengan para wartawan di situ.

Pengunjung ekspo pada malam itu semakin ramai membanjari dataran melihat persembahan artis. Tambah-tambah lagi apabila, Nur Shahila Amir Hamzah atau Shila OIAM tampil ke pentas dengan persembahan penuh tenaga menerusi lagu MEMORI TERCIPTA dan ADA-ADA SAJA. Artis lain yang turut menjayakan persembahan pada malam itu ialah HAIZA, CHAQ MENTOR, RIZ dan FAZLI ZALNAL

Seperkara lagi, malam itu saya telah membeli novel yang saya cari-cari selama ini iaitu 'JANJI MIFTAHUL RAUDHAH', hasil tulisan Sayidah Mu'izzah Kamarul Shukri. Alhamdulillah.

-Harap ekspo konvo UUM akan datang lebih meriah-
=)

Saturday, November 21, 2009

APABILA TEWASNYA IMAN

APABILA TEWASNYA IMAN
(Dewan Siswa Ogos 2008)

Nafsu keserakahan
merobek iman di dada
meranapkan benteng utama
akhirnya tersungkur di lembah hina
lenyapnya peradaban seorang manusia

HAK CIPTA TERPELIHARA
MOHD HANIFF MOHAMMAD YUSOFF

SEINDAH MENTARI SENJA

SEINDAH MENTARI SENJA

Hembusan bayu penuh syahdu
menyentuh sanubariku
tika mentari senja melambai harapan
aku mentafsir hari mendatang.

Diriku bagaikan terdampar di tepian pantai
setelah dibawa arus tanpa haluan
lemas mindaku mengenangkan diri
yang masih jauh untuk menghampiri Syurga-Mu.

Perjalanan yang akan ternoktah ini
membuatkan aku bangkit dari mimpi
memburu cahaya Ilahi
agar kumenemui silau hala yang diredhai.
Akan kukutip sisa-sisa pelayaranku
sebagai pengajaran terbaik
sebagai pelajaran yang beerti
melawan nafsu yang rakus.

Gelora keinsafan yang menghempas jiwa
memecahkan buih-buih kejahilan
dalam kesepian senja
kudamba keampunan-Mu
moga hidupku seindah mentari senja.

Friday, October 23, 2009

KOLEJ SULTAN ABDUL HAMID MELAHIRKAN MODAL INSAN GEMILANG


KOLEJ SULTAN ABDUL HAMID MELAHIRKAN MODAL INSAN GEMILANG- rauangan Sekolahku Akarku, DEWAN SISWA SEPTEMBER 2009

Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) merupakan antara sekolah premier yang terunggul di Malaysia. Terletak berhampiran pusat bandar Alor Star, KSAH menjadi kebanggaan warga Alor Star. KSAH juga meniti dibibir-bibir masyarakat sekeliling atas pelbagai kejayaan yang telah ditempa selama ini. Tahun 2008 yang lalu, KSAH mencatat sejarah apabila menyambut usianya yang ke-100.
Sejarah Penubuhan.

KSAH diasakan pada 8 Disember 1908 sebagai Government English School (GES) di sebuah bangunan berhampiran Balai Nobat, Alor Star. Pengetua pertamanya ialah Encik Mohd Iskandar(bapa Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohammad).
GES merupakan sekolah Inggeris pertama di Kedah. Pada tahun 1911, GES dipindahkan ke Jalan Penjara Lama dan sekali lagi dipindahkan ke Jalan Langgar (tapak sekarang) pada tahun 1917. Pada tahun 1935 nama GES telah ditukar menjadi Sultan Abdul Hamid College (SAHC).

Sejak penubuhannya, KSAH telah melalui rentetan sejarah perkembangan yang panjang. Banyak perubahan telah berlaku dari semasa ke semasa. Bagi menampung bilangan pelajar yang semakin ramai, bilik darjah telah ditambah di kedua-dua ‘’wing’’ kiri dan kanan bangunan perdana. Bangunan asrama lelaki dan sebuah bangunan perpustakaan yang dikenali sebagai ‘’Stuart Library’’ telah didirikan pada tahun 1930. Kemudian, sebuah dewan besar dan bangunan makmal sains dibina pada tahun 1939.

Semasa Perang Dunia Kedua, sekolah terpaksa ditutup dan dibuka semula pada tahun 1945. Pada tahun 1956, pentadbiran KSAH telah diasingkan kepada Kolej ‘’Primary’’ dan Kolej ‘’Secondary’’. Sejak dari itu, wujudlah sebuah sekolah rendah yang kemudiannya dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Seri Iskandar.

Antara mantan pelajar KSAH ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al-Haj Sultan Abdul Halim Mua’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah. KSAH telah melahirkan ramai tokoh di peringkat kebangsaan dan antarabangsa bersesuaian dengan mottonya, ‘’Schoolar, Sportman, Gentleman’’ seperti dua orang Perdana Menteri iaitu YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Tun Dr. Mahathir Mohamad, lima orang Menteri Besar Kedah, tiga orang Menteri Kabinet, lima orang Ketua Hakim Negara serta seorang Presiden Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Sambutan 100 Tahun KSAH yang disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah pada hari kemuncaknya (Centenary Celebration Day) pada 26 Julai 2008 yang lalu. Pelbagai aktiviti telah diadakan sempena Sambutan 100 Tahun KSAH. Aktiviti-aktiviti tersebut ialah Pengkisahan Sejarah SAHC 100 Years of Excellence di Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah, Majlis Tahlil dan Forum Perdana di Masjid Zahir Alor Star serta Karnival 100 Tahun KSAH selama tiga hari.
AKADEMIK

KSAH turut gah dalam bidang akademik.. Syarat kelayakan untuk mendapat pendidikan di KSAH ialah memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). KSAH turut menawarkan pakej Pra- Universiti. Asalnya KSAH merupakan sebuah sekolah yang hanya menempatkan pelajar lelaki sahaja tetapi bagi pakej Pra-Universiti, pelajar perempuan diterima masuk. Setakat ini hanya terdapat 127 orang pelajar perempuan.
Setiap tahun, KSAH mencatatkan kelulusan 100 % dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR). Begitu juga dengan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). KSAH mencatatkan kelulusan 100 % dalam SPM pada saban tahun. Bagi keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) tahun lalu, KSAH mencatatkan 98.13% pelajar yang lulus serta layak mendapat sijil. Pada tahun 2008, keputusan PMR menunjukkan keputusan yang membanggakan iaitu seramai 79 orang pelajar KSAH telah mendapat A dalam semua mata pelajaran.

Nama KSAH cukup teguh di arena kokurikulum. Ada sahaja kejayaan yang diraih di peringkat daerah, negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa. KSAH cukup sinonim dengan kejayaan pasukan Forum Remajanya yang merangkul kejuaraan di peringkat negeri saban tahun. Tahun 2008 menyaksikan sekali lagi pasukan Forum Remaja KSAH menjadi johan di peringkat Negeri Kedah dan mendapat tempat keempat di peringkat kebangsaan.

Pasukan Pancaragam KSAH telah dinobatkan sebagai johan Pertandingan Pancaragam Sekolah-sekolah Negeri Kedah 2008. Pasukan ini turut mengungguli Persiapan Terbaik. Selain itu, Pasukan pancaragam KSAH mengukuhkan lagi kejuaraan mereka apabila drum majornya, Majdi bin Ahmad dipilih sebagai Drum Major Terbaik.

Baru-baru ini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara telah mengadakan Majlis Penyampaian Hadiah Anugerah Citra Majalah yang melibatkan penyertaan sekolah-sekolah menengah di utara semenanjung. KSAH mempamerkan keunggulan pelajarnya dalam arena penulisan apabila membolot empat hadiah pada hari tersebut.

KSAH juga cemerlang dalam bidang sukan dan olahraga, malah beberapa orang pelajar KSAH merupakan wakil negeri Kedah dalam Sukan Malaysia (SUKMA) yang berlangsung di Terengganu pada tahun lalu. Mereka telah berjaya menyumbangkan pingat emas untuk badminton berpasukan dan gangsa untuk ragbi dan boling padang. Melalui Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Premier Zon Utara, KSAH telah menjadi johan dalam pertandingan ragbi dan bola sepak. Selain itu, KSAH menggondol tempat ketiga bagi pertandingan hoki. Sememangnya, kecemerlangan KSAH dalam gelanggang kokurikulum tidak boleh disangkal lagi.

‘’Setelah 101 tahun berdiri teguh menabur bakti dalam arena pendidikan negara, KSAH telah melahirkan ramai tokoh-tokoh terkemuka yang telah berkhidmat kepada negara. Saya berbangga menjadi pemimpin utama di KSAH kerana para pendidik, para pelajar dan warga KSAH senantiasa berganding bahu bagi memastikan nama KSAH sentiasa harum dari segala aspek. Harapan saya agar KSAH dapat dimartabatkan sebagai sebuah institusi ilmu yang mampu menganjak paradigma sekaligus membina modal insan kelas pertama yang gemilang’’ harapan pengetua KSAH, Tuan Haji Morazuki Hashim

KSAH bermatlamat melahirkan pelajar yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia dan bertanggungjawab untuk mencapai kesejahteraan diri serta menyumbang kepada agama, bangsa dan negara. Sewajarnya kita berbangga kerana mempunyai instiusi pendidikan seperti KSAH.

Thursday, October 22, 2009

KESIBUKKAN SAYA

Saya memohon maaf kepada pemerhati blog saya kerana tidak sempat meng'update' blog saya. Terima kasih atas perhatian anda. Di bawah ini saya sertakan jadual saya;

27 Sept. 2009- Hantar tugasan individu POLITIK ASIA TENGGARA
27 Sept. 2009- Pembentangan kumpulan NASIONALISME & KONFLIK DLM SISTEM ANTARABANGSA

29 Sept. 2009- Terlibat dengan Program Tunas Sastera bersama Puzi Hadi. Pada sebelah petangnya pula, bertindak sebagai fasilitator untuk aktiviti eksplorasi

30 Sept. 2009- Ujian Pertengahan Sem HUBUNGAN ANTARABANGSA

1 Okt. 2009- Hantar tugasan kumpulan STRUKTUR, PROSES,POLITIK DAN PENTADBIRAN KERAJAAN MALAYSIA

4 Okt. 2009- Hantar tugasan individu NASIONALISME & KONFLIK DLM SISTEM ANTARABANGSA

10 Okt. 2009- Peperiksaan akhir PROCESS WRITING

11 Okt. 2009- Pembentangan kumpulan POLITIK ASIA TENGGARA

13 Okt. 2009- Menjadi MC untuk SEMINAR PENULISAN NOVEL TARIKAN PENAMU UUM/GPMS/DBP bersama novelis dan cerpenis, PUAN NISAH HAJI HARON dan sasterawan negara, EN. AZIZI BIN ABDULLAH

18 Okt. 2009- Pembentangan kumpulan TEORI-TEORI POLITIK

19 Okt. 2009- Ujian Pertengahan Sem STRUKTUR, PROSES,POLITIK DAN PENTADBIRAN KERAJAAN MALAYSIA

21 Okt. 2009- Pembentangan individu PROCESS WRITING

25 Okt. 2009- Hantar laporan tugasan kumpulan NASIONALISME & KONFLIK ETNIK DLM SISTEM ANTARABANGSA

JADUAL PEPERIKSAAN AKHIR SEM INI;

10 Okt 2009- PROCESS WRITING

31 Okt. 2009- POLITIK ASIA TENGGARA

10 Nov. 2009- HUBUNGAN ANTARABANGSA

12 Nov. 2009- TEORI-TEORI POLITIK

15 Nov. 2009- NASIONALISME & KONFLIK ETNIK DLM SISTEM ANTARABANGSA

16 nOV. 2009- STRUKTUR, PROSES, POLITIK & PENTADBIRAN KERAJAAN MALAYSIA

Sunday, October 4, 2009

FAKIR DI BUMI SENDIRI-FOKUS SPM MAC 2006

FAKIR DI BUMI SENDIRI

Gerimis
Yang silih berganti
Masih membawa derita

Awan yang kelam
Memadamkan segala harapan
Impian yang dicipta
Sekadar bayang-bayang

Rentak dunia
Menagjar aku
Mengejar ilmu
Agar harapanku bersinar
Impianku tercapai
Melakar pelangi bahagia

Di sini
Aku amsih setia
Mengemis secebis ilmu.


MOHD HANIFF BIN MOHAMMAD YUSOFF
Hutan Kampung, Alor Setar, Kedah

TUNAS SASTERA UUM


Salam pertemuan...seminggu selepas raya saya dihimpit oleh tugasan Universiti yang masih belum selesai...tambahan pula saya mempunyai pembentangan dan mid sem untuk subjek International Relations (IR)...rasa lelah juga tapi saya kuatkan semangat untuk menghadapinya...itu belum termasuk dengan program Tunas Sastera yang saya ikuti. Sehari suntuk saya menghabiskan masa di Pusat Budaya, sedangkan esoknya saya mempunyai mid sem IR...tapi saya rasa lega apabila dapat melalui semuanya...tido pun ala kadar...
Berbicara mengenai Tunas Sastera tersebut, saya pada asalnya hanya menulis nama sebagai peserta tetapi Kak Shila telah membuka ruang kepada saya untuk menjadi ajk sekali...Program ni memang dinantikan oleh saya, untuk megetahui selok belok penulisan puisi...banyak juga input yang saya perolehi daripada penceramah, saudara Puzi Hadi.

Pada hari tersebut juga, saya telah ditugaskan untuk menjadi fasi kumpulan 4. Tertanya-tanya juga siapalah yang akan menjadi anak buah saya...em, anak-anak buah saya terdiri daripada 4 orang pelajar tingkatan 4 SMK Tun Sharifah Rodziah dan 4 orang pelajar tingkatan 6 bawah SMK Pulau Nyior.Hanya seorang sahaja daripada mereka ialah lelaki...

Saya dan rakan-rakan lain ditugaskan untuk memimpin mereka ke destinasi yang telah ditetapkan kepada setiap kumpulan...kami yang bertindak sebagai fasi pun kena lari ke sana sini. Penat...penat...penat... Hujan pun turun selebatnya petang tu...habis lenjun kami semua...dalam kebasahan hujan, kami teruskan explorasi...

Explorasinya cukup menarik, setiap 'check-point' ada sahaja denda yang perlu dilakukan oleh anak-anak buah ni...haha..kelakar pun ada...padan muka korang...

Tapi semuanya berjalan lancar...kumpulan saya tidak sempat untuk menghabiskan ke semua check-point. Tinggal dua sahaja lagi...sabar je la...kita dah cuba buat yang terbaik...

Program tu memang menarik sangat...dapat ilmu dan dapat kenalan baru...kepada ahli kumpulan 4, jaga diri,teruskan usaha mencapai cita-cita dan kepada mereka yang memang meminati sastera teruskan meulis...jangan nakal-nakal ye dik...ikhlas dari abang Anip...

Sunday, September 20, 2009

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Salam Aidilfitri buat semua. Alhamdulillah usai sudah ibadah puasa kita. Moga berjumpa lagi kita pada Ramadhan akan datang. Insya-Allah. Bagaiman dengan sambuatn raya anda hari ini? Hari ini satu Syawal 1430 Hijrah bersamaan 20 09 2009 (cantik nombornya). Semoga semuanya gembira pada hari raya kali ini. Saya biasa sahaja. Tiada yang menarik sangat. Dulu semasa tinggal di Ipoh, merasa juga nikmat 'balik kampung' tu, tapi sekarang tidak lagi setelah kami sekeluarga pindah ke Kedah. Ayah dan mak orang Kedah. Hari ni, saya sempat beraya bersama kawan-kawan dan pergi rumah cikgu Arifah. Cikgu ekonomi saya sewaktu di tingakatan 6 dahulu. Insya-Allah, esok hendak pergi berjumpa kawan-kawan lagi. Waktu inilah dapat berkumpul, masing-masing dah bawa haluan sendiri meneruskan pengajian...

Kepada semua pemerhati dan pembaca blog saya (yang tidak seberapa ini), saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut hari raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.

Friday, September 18, 2009

KAD RAYA


Salam pertemuan kembali. Harap semuanya sihat walafiat. Semasa catatan ini ditulis, tinggal sehari sahaja lagi hendak menyambut Aidilfitri. Pastinya ramai yang sibuk dengan persiapan untuk menyambut hari raya. Namun saya lebih tertarik untuk meninggalkan catatan berkenaan kad raya kali ini. Banyakkah kad raya yang anda dapat untuk tahun ini? Berapa? Ada sampai sepuluh keping ? Sebenarnya saya merupakan salah seorang insan yang cukup setia untuk mengirim kad raya pada setiap tahun. Apabila tibanya Ramadhan, saya akan berkunjung ke pejabat pos untuk membeli setem dengan jumlah yang agak luar biasa dari kebiasaannya. Selepas itu, saya membuat perhitungan kepada siapa kad raya yang dibeli hendak dihantar. (kepada rakan-rakan taulan, sanak-saudara, sahabat-sahabat pena dan untuk personaliti pun ada). Bagi saya kad raya mempunyai nilai ingatan yang cukup bermakna. Pelbagai jenis kad raya yang dijual dipasaran.Ada yang berbunyi, ada yang bergambar kartun, ada yang besar, ada yang panjang, dan ada yang berbentuk pelbagai-jenuh juga la hendak membuat pilihan. Zaman kini, sistem pesanan ringkas (SMS) lebih menjadi pilihan masyarakat untuk mengirimkan ucapan hari raya. Tidak saya nafikannya kerana jumlah kad raya yang saya terima saban tahun juga menunjukkan penurunan setahun demi setahun. Begitulah peredaran zaman namanya, tetapi kad raya masih menjadi pilihan walaupun jumlahnya tidak sebanyak dahulu. Sebaik sahaja tiba di rumah semalam, saya membelek-belek kad raya yang dikirimkan kepada saya. Jumlahnya sedikit menurun dari tahun sebelumnya tetapi itu bukanlah perioriti yang utama. Paling penting tanda ingatan dan keikhlasan seseorang. Terima kasih saya ucapkan kepada mereka.

PERGINYA YASMIN AHMAD


Keadaan masa yang tidak menentu membuatkan saya terpaksa melupakan niat saya untuk meninggalkan catatan di laman saya ini. ‘Talentime’, merupakan filem terakhir allahyarham Yasmin Ahmad. Sudah kah anda menontonnya??? Saya sudah tetapi agak lewat kerana bukan melihat di panggung wayang tetapi di komputer riba rakan. Hati saya agak tersentuh dengan sentuhan karya allahyarham Yasmin Ahmad itu. Kehidupan masyarakat diangkat sebagai tema utama. Melalui karya beliau, saya dapat merasa keikhlasannya berkarya. Secara jujurnya ingin saya nyatakan di sini bahawa, filem-filem Yasmin mempunyai keaslian berbanding filem-filem yang lain. Idea yang cuba disampaikan tidak mempunyai persamaan dengan filem-filem yang lain dan mungkin tidak pernah terfikir oleh kita. Setahu saya, allahyarham Yasmin Ahmad mengabadikan kisah keluarganya di dalam filem-filemnya. Mungkin inilah keaslian karya-karya allahyarham. Filem Sepet dan Mukhsin telah membawa pulang pelbagai anugerah di peringkat antarabangsa dan ini menunjukkan bahawa karya allahyarham diiktiraf di peringkat dunia. Namun, beliau telah pergi meninggalkan kita. Allahyarham yang sedang membentangkan kertas kerja projek sempena SATU MALAYSIA bersama Siti Nurhaliza Production, tiba-tiba rebah di Sri Pentas. Seterusnya, allahyarham telah dikejarkan ke hospital serta menjalani pembedahan. Pada tanggal 25 Julai 2009, allahyarham dijemput Maha Pencipta. Perginya seorang penggiat seni yang cukup sinonim dengan iklan pendeknya yang menyentuh rasa serta filem-filem yang amat dekat dengan masyarakat. Walaupun pengarah ‘originality’ ini telah pergi, namun karya-karyanya tetap hidup selamanya… Seperkara lagi mengenai lagu tema 'TALENTIME' cintaan sepenuhnya Pete Teo. Satu susunan muzik yang menarik dan bagus, disesuaikan dengan rangkap lirik yang agak sederhana tetapi bermakna.


Lirik Lagu Pergi - Aizat (OST Talentime)

Sayu terpisah
hikayat indah kini hanya tinggal sejarah
berhembus angin rindu
begitu nyamannya terhidu wangian kasihmu
hujan lebat mencurah kini
bagaikan tiada henti
kaulah laguku kau irama terindah
tak lagi kudengari
kau pergi.. pergi..
sepi tanpa kata
terdiam dan kaku tak daya kau kulupa
apa pun kata mereka
biarkan kenangan berbunga di ranting usia


Monday, August 3, 2009

BAHAGIA ITU MILIK KAMI- BERITA HARIAN, 18 JULAI 2009

BAHAGIA ITU MILIK KAMI

Teratak kasih yang kami bina
musnah sekelip mata
ditusuk peluru berdarah
menembusi jasad kemanusiaan.

Hilang segala kasih
lenyap segala sayang
punah segala impian
lupus kebahagiaan.

Laskar angkuh itu
retoriknya menggegar dunia
muslihatnya mengaburi mata insani
mengaut hak kami
merampas keadilan.

Kami nyanyikan syair kedamaian
beralunkan doa harapan
kembalikan bahagia semalam
yang pernah digenggam
kerana bahagia itu milik kami!

Mohd Haniff Mohammad Yusoff
Hutan Kampung, Alor Setar