Wednesday, October 19, 2016

BERSEMINAR DI BANDUNG

Lapangan Terbang Sastranegara Husien, Bandung menerima ketibaan saya sekitar pukul 8.00 pagi waktu di Bandung yang lewat sejam berbanding waktu di Kuala Lumpur. Lapangan terbang yang kelihatan agak klasik sudah memberi gambaran awal tentang sosiobudaya Bandung, walaupun bukanlah secara keseluruhan dan sekadar telahan awal saya sahaja. 

Pertama kali saya menjadi pemakalah

Kami menginap di Hotel Grand Tjokro, Bandung. Hotel yang saya kira agak mewah dengan label empat bintang dan baru beroperasi selama 10 bulan. Memandangkan kami tiba awal pagi dan urus setia penganjuran seminar yang kami sertai belum ada, kami memperbesar langkah untuk membeli-belah dahulu di Bandung. Bandung sememangnya terkenal sebagai pusat membeli-belah terutamanya pakaian termasuk telekung dan juga kain batik.

Keadaan saya yang masih belum kebah daripada demam ketika itu tidaklah membantutkan perasaan teruja saya untuk melewati suasana di Bandung. Selain melihat kain-kain yang pelbagai corak dan jenis, saya dan yang lainnya begitu teruja melihat lukisan-lukisan yang begitu mengasyikkan. Pensyarah saya sempat membeli beberapa lukisan untuk dibawa pulang sebagai kenang-kenangan.

Saya begitu tertarik dengan santun dan ramainya orang-orang Bandung. Pertuturannya lembut dan begitu ramah-tamah. Kami sempat ke dua buah kedai yang menghidangkan air kepada kami, begitu sekali layanan mereka kepada kita. Sesuatu yang saya masih ingat, ketika di sebuah kedai kain di Pasar Baru, saya sudah tidak tahan untuk buang air, seorang pekerja di kedai tersebut sanggup membawa saya sehingga ke tandas yang terdapat di dalam Pasar Baru. Tidak setakat itu, dia juga setia menunggu di luar dan sama-sama mengiringi saya ke kedainya semula.
Rakan yang juga sepenyelia dengan saya

Saya juga melihat, rata-ratanya orang muda yang berniaga, malah pekerja di hotel saya menginap juga muda-muda pekerjanya. Begitulah keadaanya yang saya sangat perasan ketika beberapa hari di sana.

Seminar berlangsung selama dua hari dan upacara pembukaan dimulakan dengan persembahan tarian yang mempromosikan batik Indonesia dan ucap utama dari Ketua Balai Bahasa Jawa Barat. Seminar Internasional Bahasa Ibu 2016 dilangsungkan dengan membahagikan tiga tempat bersidang dan seminar berlangsung secara serentak. Urutan dan jadual pemakalah disusun oleh penganjur dan dalam sejam, empat pemakalah akan membentang hasil kajian masing-masing. Mengangkat tema 'Bahasa Ibu sebagai Sumber Budaya Literasi', seminar telah menyaksikan lebih 100 makalah telah dibentangkan dalam masa dua hari berlangsungnya seminar. Para pemakalah diberikan sijil, buku yang menyiarkan hasil penulisan kajian masing-masing, beg galas, buku nota dan  juga t-shirt yang cantik.Selepas seminar, saya sempat juga berjalan-jalan ke Tangkuban Perahu, premis pemprosesan, Kopi Luwak Cikole, Floating Market Bandung, dan juga Gramedia Bandung.
Floating Market
Kawah di Tangkuban Perahu

Ketika di Tangkuban Perahu, seorang penjaja yang turut menjual di situ begitu ramah bersembang dengan saya. Ramai orang Malaysia ke situ, katanya termasuk artis. Akhir sekali dia pun cakap muka saya macam pelakon. Saya pun tak tau drama apa yang ditontonnya. Kami sering diingatkan oleh supir kami agar tidak berbelanja dengan mereka yang tiba-tiba datang kepada kita untuk berjual barangan kerana selalunya lebih mahal. 

Pada 6 Oktober 2016, saya mengambil perjalanan pulang menaiki penerbangan Air Asia yang dijadualkan pada pukul 5.20 petang, tetapi berganjak sedikit perjalanan atas faktor cuaca saya kira.

Bandung, dingin! 

Bandung, sesuai untuk mereka yang sukakan membeli-belah kain, baju, seluar dan beg. Nak kata murah sangat tu tidaklah juga memandangkan kedudukan ringgit kita yang kian jatuh. Bijak membeli, menanglah memakai juga!