Sunday, May 31, 2015

CERPEN DALAM SELANGOR KINI : CERPEN JEMBALANG


Alhamdulillah, cerpen saya yang seterusnya disiarkan di media ialah cerpen yang berjudul 'Jembalang Muncul di Perpustakaan Kampung Kami'. Cerpen ini telah disiarkan dalam akhbar Selangor Kini edisi 29 Mei- 5 Jun 2015. Terima kasih editor Selangor Kini! 

Saturday, May 30, 2015

PERADUAN ULAS BUKU ITBM 2015

Kumpulan Cerpen Remaja Tetamu Istimewa: Istimewanya kerana Memaknakan Elemen Sosiobudaya Melayu


 Tajuk buku: Kumpulan Cerpen Remaja, Tetamu Istimewa
Penulis: Mohd Helmi Ahmad
Harga: RM 20 (SM)/ RM 25 (SS)
ISBN:978-967-430-401-0
Tahun terbit: 2014
Pengulas: Mohd Haniff Mohammad Yusoff
FB: Haniff Yusoff


Berdiri sebagai karya sastera remaja sewajarnya memberi sesuatu yang bermanfaat kepada golongan remaja itu sendiri dalam membentuk peribadi serta pekerti bagi melahirkan generasi yang berkualiti. Othman Puteh (1989) menerusi bukunya Sastera Remaja ditinjau daripada Beberapa Perspektif berpendapat sastera remaja itu pada dasarnya harus memberikan pendidikan selain hiburan kepada pembaca terutamanya golongan remaja.
              Kumpulan cerpen remaja Tetamu Istimewa karangan Mohd Helmi Ahmad secara keseluruhannya menampilkan cerpen yang kaya dengan nilai-nilai murni untuk diteladani dan rata-ratanya berpaksikan sosiobudaya Melayu. Setiap satunya menonjolkan suasana, perlakuan dan adat resam yang sememangnya begitu akrab dalam kalangan masyarakat Melayu. Penyertaan elemen sosiobudaya dalam bahan bacaan untuk golongan remaja adalah suatu usaha yang wajar dalam memperkasakan jati diri kelompok ini.
                 Menurut A.C. Milner (dalam Ahmad Jelani Halimi, 2008) pengembara dan pelaut asing yang datang ke Tanah Melayu suatu masa dahulu mendapati setiap orang iaitu bangsa Melayu mempunyai kesedaran akan perpaduan, perkongsian bahasa, kesusasteraan dan cara hidup yang sama. Sosiobudaya Melayu yang didukung oleh pelbagai elemen merupakan lambang keutuhan jati diri dan identiti masyarakat Melayu itu sendiri. Mohd Koharuddin Mohd Balwi (2005) berpendapat budaya dan ketamadunan sesuatu masyarakat saling berkaitan kerana setiap tamadun dibina oleh budaya sesuatu masyarakat. Pantun di bawah merupakan contoh dalam mengungkap betapa signifikannya budi dan bahasa dalam masyarakat Melayu.

Yang kurik itu kendi,
Yang merah itu saga,
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.
(Kurik Kundi Merah Saga, 2005)

Jika melihat ruang lingkup pantun di atas dengan skala yang lebih besar, pantun di atas sebenarnya menggambarkan betapa Melayu itu sememangnya dihadirkan dengan nilai-nilai kehalusan dan kesantunan. Pantun sendiri merupakan salah satu daripada elemen sosiobudaya Melayu yang cukup tinggi nilainya biarpun didepani prahara zaman yang tidak terduga.
            Kumpulan cerpen remaja Tetamu Istimewa menampilkan 15 buah cerpen yang pernah mendapat tempat di dalam majalah dan juga akhbar tempatan. Cerpen pertama yang berjudul ‘Rancanganku Rancangan-Mu’ mengisahkan Amirul yang menghabiskan masa cuti semesternya di kampung bersama datuk dan neneknya. Perancangan asal yang sepatutnya bercuti di Cameron Highland tidak tercapai dek tugasan si ayah yang perlu menghadiri seminar di Pangkor. Cerpen ini dihadirkan dengan suasana kehidupan perkampungan Melayu yang begitu damai dikelilingi petak-petak bendang. Turut dikisahkan dalam cerpen ini ialah ikan-ikan darat dan ulam-ulaman menjadi menu dalam hidangan. Penulis juga memperkenalkan permainan tradisi masyarakat Melayu iaitu wau dalam cerpen ini.

Pengalaman bermain wau tidak dapat kulupakan. Atuk banyak mengajarku mengenali warisan dan budaya orang Melayu. Dari menangkap ikan, makanan kampung, hinggalah permainan tradisional. Kata atuk, kalau kita yang tidak menjaganya, siapa lagi? Jangan biarkan ianya ditelan zaman.  (hlm. 8)

            Melayu itu sememangnya dihadirkan dengan kesantunan budi pekerti yang tiada tolok bandingnya. Cerpen ‘Kedondong untuk Cikgu’ dan ‘Haruan di Pinggir Sawah’ menemukan pembaca dengan watak seorang guru yang perlu berhadapan dengan karenah anak muridnya yang adakalanya begitu mencabar kesabarannya sebagai seorang guru. Melalui cerpen ‘Kedondong untuk Cikgu’, Zahir yang selalu tidak menyempurnakan kerja sekolahnya, malah digambarkan sebagai murid yang selekeh akhirnya merealisasikan impian gurunya yang mengidam buah kedondong. Cerpen ‘Haruan di Pinggir Sawah’ pula mengisahkan Kamal yang sering dimarahi cikgunya kerana bercita-cita untuk menjadi penangkap ikan haruan dan di penghujung cerita pembaca akan ditemukan dengan kekesalan Cikgu Haris yang sering memarahi anak muridnya itu setelah mengetahui kehidupan sebenar anak muridnya itu yang serba kekurangan. Cerpen-cerpen ini memunculkan keluhuran budi seorang anak murid terhadap gurunya di mana mereka tidak menyimpan dendam sebaliknya menzahirkan rasa kasih dan hormat pada guru mereka. ‘Piala Penentuan’ juga dihiasi dengan molek pekerti dalam masyarakat Melayu yang wajar dicontohi oleh golongan remaja apabila watak utamanya Amar memohon restu daripada ayah dan ibunya apabila dia mempunyai perlawanan badminton dan dalam masa yang sama minatnya itu ditentang oleh ibunya sendiri.

Sebelum Amar melangkah ke gelanggang, semalam dia ada beritahu ayah dan ibunya yang dia akan menyertai pertandingan badminton itu. Dia memohon restu dari kedua orang tuanya itu. Walaupun luka kekecewaan yang dicalarkan emaknya masih berparut, semua itu diketepikan. “Mak seandainya Amar tidak berjaya membawa pulang piala kemenangan, Amar akan gantung racket. Amar akan ikut segala cakap mak. Amar janji mak. Ayah doakan Amar.” (hlm. 87)

            Amalan petua yang dipanjangkan generasi turun-temurun adalah sesuatu yang begitu sinonim dalam kalangan masyarakat Melayu. Biarpun dunia begitu taasub pada revolusi dan teknologi, amalan petua masih dipraktikkan sehingga ke hari ini dan melalui kumpulan cerpen remaja Tetamu Istimewa, Mohd Helmi Ahmad menjelmakannya dalam cerpen ‘Tetamu Istimewa’ dan ‘Pulut Durian Santan Kelapa’. Cerpen yang menjuduli kumpulan cerpen ini iaitu ‘Tetamu Istimewa’ memberi pendedahan kepada pembaca mengenai amalan tradisi dalam menangani demam campak. Cerpen ‘Tetamu Istimewa’ membawa pembaca mendekati watak emak yang begitu rapi menjaga watak adik yang sedang mengalami demam campak dengan dimandikan dengan air penawar, malah watak emak juga tidak mengoreng dan menumis sebaliknya menyediakan ikan rebus sahaja untuk dijamu pada watak adik. Cerpen ‘Pulut Durian Santan Kelapa’ pula akan membawa kita kepada petua dalam menghilangkan rasa panas badan terutamanya selepas menikmati raja buah, durian.

Petua ayah, ambil kulit durian yang dimakan dan masukkan sedikit air dalam pangsa kulit durian itu. Kemudian minum. Harapnya panas menjaram di dalam badan hilang, tidak pun kurang. (hlm. 117)

             Adat resam yang menunjangi masyarakat Melayu turut disisipkan dalam cerpen-cerpen tulisan penulis dari negeri Jelapang Padi ini. Cerpen ‘Bunga Telur Kenduri Kahwin’ yang telah teruji kualitinya apabila diangkat sebagai pemenang Hadiah Penghargaan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2010 agak menarik untuk dibicarakan. Cerpen yang turut mengemukakan elemen sosiobudaya Melayu ini mencetuskan pertembungan dua pendapat dari dua zaman yang berbeza antara anak dan juga ayah. Pertembungan perbezaan pendapat ini melibatkan antara perlaksanaan majlis kenduri kahwin secara adat warisan dan juga perlaksanaan majlis kenduri kahwin secara moden yang melibatkan perkhidmatan katering. Si ayah begitu terasa tercabar dengan tindakan anaknya kerana si ayah begitu setia sebagai pengamal budaya Melayu di kampungnya. Pembaca juga diperkenalkan dengan beberapa perkataan yang sememangnya begitu sinonim dalam majlis kenduri kahwin masyarakat Melayu secara tradisi seperti ‘tukang gerau’ dan ‘bentara’. Melalui cerpen ini juga, kemeriahan suasana majlis perkahwinan masyarakat Melayu secara tradisi dikisahkan oleh watak atuk kepada cucunya. Tuntasnya, cerpen ini memperlihatkan keupayaan penulis dalam membijakkan pembaca dengan memberi pendedahan dan pengetahuan mengenai majlis perkahwinan masyarakat Melayu yang telah diamalkan sejak dari dahulu.
                Mohd Helmi Ahmad turut menjelmakan adat resam masyarakat Melayu melalui cerpen ‘Rombongan Masuk Jawi’ yang mengisahkan amalan bersunat mengikut tuntutan ajaran Islam kepada kanak-kanak lelaki.

“Bersunat wajib bagi lelaki Muslim. Kebanyakan ulama berpendapat bahawa, bersunat wajib dilakukan ketika si anak hampir cukup umur atau akil baligh.” (hlm. 94)

Cerpen ini sebenarnya menjelaskan kepada kita bahawa Islam menjadi akar umbi dalam perlaksanaan adat resam masyarakat Melayu. Ajaran Islam bergerak seiring dengan amalan masyarakat Melayu agar tuntutan agama tidak diabaikan dan segala adat istiadat atau amalan tidak melanggar hukum-hukum agama.

                Sosiobudaya Melayu dilihat sebagai elemen yang penting untuk diterapkan dalam bahan bacaan agar golongan remaja dapat membentuk sahsiah mereka . Othman Puteh (1995) menegaskan karya yang bernilai sastera haruslah digarap dengan penuh kehalusan, perenungan, pentaksiran, memiliki sisi keistimewaan di samping memerlukan daya kepekaan untuk memahami makna kehidupan. Kumpulan cerpen remaja Tetamu Istimewa yang diselitkan dengan elemen sosiobudaya Melayu dalam helaian-helaiannya perlu dijadikan bahan bacaan dalam usaha melahirkan remaja yang unggul pekerti, yang kenal usulnya dan yang teguh jati diri, sekali gus memartabatkan sastera remaja itu sendiri. 

Kumpulan cerpen remaja, Tetamu Istimewa
*Ulasan buku ini disediakan sebagai penyertaan Pertandingan Ulas Buku ITBM 2015

Rujukan
Ahmad Jelani Halimi. (2008). Sejarah dan tamadun bangsa Melayu. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Kurik Kundi Merah Saga. (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd Helmi Ahmad. (2014). Tetamu Istimewa. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan dan Buku Malaysia.

Mohd Koharuddin Mohd Balwi. (2005). Peradaban Melayu. Skudai: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia.

Othman Puteh. (1989). Sastera remaja ditinjau daripada beberapa perspektif. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Othman Puteh. (1995). Pengisian dunia sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.



Wednesday, May 27, 2015

NANTIKAN KELAHIRANNYA!


Antologi ini diterbitkan oleh Terfaktab dan akan menemui anda di pasaran tidak lama lagi!

Tuesday, May 26, 2015

CERPEN DALAM BERITA HARIAN AHAD : DAERAH SUBUH

Alhamdulillah, saya panjatkan syukur pada Tuhan. Cerpen saya yang seterusnya disiarkan dalam Berita Harian Ahad. Kali terakhir cerpen saya menghiasi Berita Harian Ahad ialah cerpen 'Manusia Sekerat Ular Sekerat Belut' yang disiarkan pada tahun 2013 yang lalu. Terima kasih kepada editor yang memilih untuk menyiarkan 'Daerah Subuh'. Penawar demam saya ketika ini.


'Daerah Subuh', Berita Harian Ahad, 24 Mei 2015

Tuesday, May 12, 2015

CALON AKHIR CERPEN REMAJA HSKU 2013


Terkejut juga menerima ucapan tahniah menerusi aplikasi Whatsapp daripada abang Mohd Helmi Ahmad memandangkan saya tidak dapat melihat gambar yang dikirim. Alhamdulillah, cerpen remaja saya disenaraikan antara 16 yang terbaik Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2013. Walaupun tidak berjaya menempatkan diri antara 9 yang terbaik, berada antara kelompok 16 yang terbaik juga sudah membahagiakan saya. Berita ini mungkin agak lewat memandangkan majlis penyampaian hadiah telah dilangsungkan pada tahun (baca: 2014) lalu sedangkan antologi dan novel-novel yang diangkat sebagai pemenang baru sahaja menemui pembaca di PBAKL 2015 yang lalu. Berdasarkan rekod, hanya dua sahaja karya saya yang mendapat tempat dalam media terbitan Utusan pada tahun 2013 iaitu cerpen 'Asar di Penghujung Tahun ' ini dan sebuah puisi yang disiarkan dalam Mingguan Malaysia yang berjudul 'Memilih Juruterbang Nan Pejuang'.