#SAYANGSAYANG

Saturday, May 31, 2014

MELAWAN YANG MUSTAHIL: CERMINAN MASYARAKAT KITA

MELAWAN YANG MUSTAHIL: CERMINAN MASYARAKAT KITA


JUDUL: MELAWAN YANG MUSTAHIL
NO. ISBN: 978-967-430-172-9
PENULIS: RUHAINI MATDARIN
JENIS BUKU: KUMPULAN CERPEN
TERBITAN: INSTITUT TERJEMAHAN DAN BUKU MALAYSIA (ITBM)
MUKA SURAT: 132
HARGA: SM-RM 20, SS-RM 25
NO. RESIT: ITBM02000873

SESUATU yang menarik perhatian saya untuk memiliki naskhah ini ialah ‘Ruhaini Matdarin’.  Kumpulan cerpennya yang berjudul Misi Penyepit Kain sudah saya miliki setahun yang lalu dan menjadi punca utama saya tidak sabar untuk memiliki Melawan yang Mustahil. Ruhaini Matdarin merupakan penulis dari negeri Sabah di Bawah Bayu begitu bijak menggunakan persekitarannya untuk diterjemahkan dalam penulisan cerpennya. Kumpulan cerpen Melawan yang Mustahil  ini telah dipilih sebagai pemenang tempat pertama kategori kumpulan cerpen sempena Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BERITA HARIAN. Keputusan ini menjadikan naskhah ini merupakan naskhah utama yang perlu saya miliki dalam misi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur musim ini. Nah, 10 buah cerpen yang begitu dekat dengan masyarakat kita digarap dengan baik oleh Sang Penulis- Ruhaini Matdarin.
Naskhah ini dimulakan dengan cerpen yang berjudul Pencari Kotak. Penulis mengangkat watak seorang pencari kotak dalam kisah ini. Biarpun kita menggelarkan negara kita ‘pesat membangun’, tetapi masih terdapat golongan yang menjadikan kotak sebagai punca rezeki. Hidup yang serba daif tidak menghalang watak utamanya untuk bersikap jujur dengan memulangkan kembali wang yang dijumpainya di tempat pembuangan sampah. Secara tidak langsung, penulis mengangkat watak ini dari sudut yang positif. Suka saya memetik dialong yang dicipta untuk watak utama ketika latar tempatnya di balai polis:
“Kita boleh kutip kotak terbuang di tempat pembuangan sampah atau di tepi jalan dan menukarkannya dengan wang, tuan. Tetapi kita tidak boleh menukar maruah kita dengan wang di tempat pembuangan sampah atau di jalanan.”
(halaman 11)

Cerpen Hujan Belum Berhenti masih menyingkap kehidupan masyarakat kita yang hidupnya  diibaratkan ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’. Biarpun begitu, penulis bijak dengan menghadirkan aura yang positif ke dalam watak-watak yang diciptanya. Azizah dilakarkan sebagai isteri yang begitu setia kepada suaminya. Dia memohon kepada Tuhan agar dikembalikan suaminya yang kurus kering ke pangkuan mereka sekeluarga biarpun tanpa kemewahan yang dibawa pulang bersama. Suaminya pula mempunyai keazaman yang tinggi untuk mengubah kehidupan mereka dan sanggup untuk ke laut dalam untuk mendapatkan hasil tangkapan yang lebih lumayan.
Pertemuan Singkat dengan Sabar  merupakan sebuah cerpen yang dipersembahkan dengan cara yang santai dengan memperlihatkan komunikasi antara Aku dan juga pemandu teksi yang bernama Sabar mendominasi keseluruhan cerita. Cerpen ini menyerlahkan nilai-nilai murni yang dimiliki oleh Sabar yang sewajarnya dicontohi oleh pembaca. Sabar  memiliki perwatakan yang serba sederhana dan perwatakan ini amat kontra dengan perwatakan Aku yang dilahirkan serba mewah. Sabar juga diserlahkan dengan sifat jujurnya dan hanya menerima bayaran sekadar yang menepati tambang teksi sahaja biarpun diberi bayaran yang berlebihan.
Cerpen seterusnya tidak terlepas daripada menyingkap kisah-kisah masyarakat kita dan dalam diam menyindir sikap kita yang suka berdendam. Cerpen yang diberi judul Sebelum Terbit Matahari  mengisahkan dendam yang berterusan sehingga ke generasi yang seterusnya. Jangka panjang dendam yang tiada kesudahan ini hanya sia-sia kerana mengeruhkan hubungan sesama manusia dan seterusnya menidakkan pencapaian kehidupan yang harmoni.
Kejutan Buat Zaleha Pada Perlawanan Akhir Badminton Sukan Olimpik merupakan sebuah cerpen yang dalam senyap menyindir pembaca untuk mengutamakan suruhan agama berbanding perihal duniawi. Zaleha menyuruh anak-anaknya segera ke surau untuk menunaikan solat sunat tarawih ketika mereka begitu asyik menonton perlawanan akhir badminton Sukan Olimpik.
                “Pingat dunia buat apalah dikejar sangat, bukan? Pingat emas akhirat lebih berharga.”
                (halaman 63)
Cerpen Mantan Jaguh Pecut dan Tukang Kasut merupakan kisah yang sangat menarik untuk dihadami. Mengisahkan seorang bekas jaguh pecut yang kembali untuk bertanding dalam sebuah pertandingan. Secara keseluruhannya cerpen ini mendidik kepada pembaca tentang kehidupan kita di Bumi ciptaan Tuhan ini perlu saling memberi dan adakalanya rezeki orang lain disalurkan oleh Tuhan melalui diri kita. Menerusi cerpen ini dapat dilihat bagaimana Tukang Kasut yang mengizinkan si Nazarudin Ahmad iaitu watak utama berhutang terlebih dahulu untuk mendapatkan kasut yang dijualnya. Pada hari pertandingan, Nazarudin Ahmad berjaya mendapat tempat ketujuh seperti yang diimpikannya biarpun berpeluang untuk menjadi juara pada hari kejadian. Walau bagaimanapun dia nekad untuk berkedudukan tempat ketujuh kerana hadiahnya ialah sebuah ketuhar gelombang mikro yang boleh dihadiahkan kepada isterinya dan juga sebuah kerusi roda yang boleh diberikan kepada ibunya. Ya, begitulah hidup ini yang perlu saling memberi! Indah!

Kerana Tokek menceritakan kepada pembaca tentang watak utamanya yang sebenarnya telah dikhianati kawanya sendiri dan hakikatnya cicak Tokek yang dikisahkan orang itu tidak pernah wujud. Kerana Tokek menyentuh tentang sikap segelintir masyarakat yang tamak tanpa pernah mendahulukan akal dalam tindakan. Sikap tamak akhirnya menjerat diri sendiri dan hasil yang kita perolehi hanyalah sia-sia.
Saya melihat cerpen Putera Sabit Tidak Jadi Mengamuk di Padang Jaya sebagai sindiran terhadap masyarakat yang begitu taasub terhadap politik namun tidak pernah tahu apa itu politik. Selain itu, penulis menyedarkan pembaca agar jangan menjadi ‘pak turut’ tanpa pernah kita tahu genda sebenar sesuatu perkara dan menyelidik sesuatu terlebih dahulu.
Cerpen yang menjuduli kumpulan cerpen ini iaitu Melawan yang Mustahil mempunyai elemen cinta yang begitu sebati dalam diri kita sebagai manusia. Persoalan tentang budaya dan agama sememangnya membatasi kasih mereka, namun penulis memberi harapan perkara yang tidak mungkin boleh menjadi mungkin pada pertemuan mendatang yang bakal diciptakan.
“Hanya ciptakan satu pertemuan baharu dan semuanya akan menyusul Cik Rafizah…dan anda hanya perlu datang dan saya hanya perlu menunggu.”
(halaman 115)
Cerpen yang menjadi penutup kepada kumpulan cerpen yang hebat ini ialah  Skandal Sungai VS Sabun Beras Ajaib. Pada hemat saya, cerpen ini menyerlahkan kreativiti Ruhaini Matdarin dalam mencipta watak dan mengatur alur ceritanya. Dalam nada yang lucu, penulis sempat menitipkan sindiran dalam cerpennya yang satu ini.
Mereka mahu penjelasan kematian Hamidun Ghazali di atas kertas secara panjang lebar bukan alas an kematiannya pada sijil kematian: keracunan arsenik. Mereka mahu mendengar penjelasan daripada pemimpin mereka yang selama ini muncul menjelang pilihan raya…
(halaman 128)
Jelasnya, penulis turut menyindir golongan-golongan tertentu yang tidak menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan setulus-tulusnya melalui cerpen Skandal Sungai VS Sabun Beras Ajaib.
Tuntasnya, kumpulan cerpen Melawan yang Mustahil ini memperlihatkan kepada kita akan kecaknaan Ruhaini Matdarin selaku penulis terhadap perkara yang berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini. Keperihatinan Ruhaini Matdarin selaku sebahagian daripada anggota masyarakat mengangkat isu-isu kemasyarakatan dalam penulisannya adalah sesuatu yang wajar agar pembaca lebih mudah memahami segala yang tersirat di sebalik cerpen beliau. Perlu juga difahami bahawa sesuatu yang dekat itu, lebih mudah untuk diserap ke dalam minda dan juga jiwa. Perlu juga diakui, ‘Ruhaini Matdarin’ ialah penulis prolifik masa kini yang menjanjikan kelangsungan penulisan dan sastera Melayu!

*Ulasan buku ini merupakan penyertaan Pertandingan Menulis Ulasan Buku ITBM sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2014

No comments:

Post a Comment