Monday, September 30, 2013

CERPEN 'MANUSIA SEKERAT ULAR SEKERAT BELUT'

CERPEN                                                                                                                                           
MANUSIA SEKERAT ULAR SEKERAT BELUT
OLEH: MOHD HANIFF MOHAMMAD YUSOFF

1.
KISAH mengenai Manusia Sekerat Ular Sekerat Belut bukanlah cerita dongengan purbawara. Jangan pula ada yang menggelar saya seorang yang suka berjenaka gara-gara bercerita mengenai manusia sekerat ular sekerat belut. Paling penting jangan menuduh saya menipu kalian dengan kisah saya ini. Hakikatnya, kalian perlu percaya bahawa Manusia Sekerat Ular Sekerat Belut itu memang benar-benar wujud di dalam dunia ini!
            Sewaktu masih kecil, saya yang tidak pernah berjumpa dengan Manusia Sekerat Ular Sekerat Belut gemar membayangkannya. Mungkin wajahnya seperti manusia, badannya seperti belut dan kakinya seperti ular. Kalau difikirkan balik, ular mana ada kaki. Belut pun lebih kurang sama seperti ular. Mungkin juga wajahnya persis belut, badannya semacam ular dan kakinya, kaki manusia. Sukarnya saya hendak menentukan jenis entiti Manusia Sekerat Ular Sekerat Belut ini. Adakalanya imaginasi kanak-kanak saya terbatas dan saya andaikan Manusia Sekerat Ular Sekerat Belut itu dipelihara di Taman Haiwan Negara agar saya dapat melihatnya suatu hari nanti. Pastinya ketika itu, saya tidak perlu lagi pening memikirkan keadaan fizikalnya.
            Sebenarnya ayahlah yang mula-mula menyebut nama Manusia Sekerat Ular Sekerat Belut di dalam rumah cuma saya yang terpinga-pinga berbanding ibu dan abang apabila mendengar nama entiti itu buat pertama kalinya. Ketika itu, kami sedang menikmati makan malam yang disajikan oleh ibu. Saya begitu asyik meratah ikan bawal masak tiga rasa ketika itu dan dalam ralit meratah kesedapan masakan ibu, kata-kata ayah membuatkan saya memperlahankan kunyahan saya.
            “Manusia Sekerat Ular Sekerat Belut semakin angkuh. Langsung tidak peduli sindiran dan nasihat orang lain.”
            Saya yang ketika itu baru berusia tujuh tahun, mencelah kata-kata ayah itu walaupun masih belum menghabiskan makanan sedangkan ayah, ibu dan abang telah pun selesai. “Ayah, Manusia Sekerat Ular Sekerat Belut tu macam dinosourkah?
            “Adik, lebih daripada itu sebenarnya.”
            “Maknanya Manusia Sekerat Ular Sekerat Belut tu makan orang macam kitakah, ayah?”
            “Ya, adik. Habis jati diri bangsa dimamahnya. Kelak adik akan faham juga.”
            “Ngerinya adik dengar.”
            Mendengar kata-kata ayah itu membuatkan saya gerun. Saya menghabiskan makanan saya tanpa menyoal ayah perihal Manusia Sekerat Ular Sekerat Belut lagi. Sejujurnya sejak malam itu, Manusia Sekerat Ular Sekerat Belut menjadi mimpi yang paling mengerikan. Maksim ketakutan saya terhadap Manusia Sekerat Ular Sekerat Belut lebih tinggi berbanding hantu-hantu yang pelbagai jenis di dunia ini. Abang pula selalu menyakat saya dengan kehadiran Manusia Sekerat Ular Sekerat Belut. Katanya, Manusia Sekerat Ular Sekerat Belut akan datang kepada saya untuk mengambil saya sebagai anak angkatnya jika saya tidak tahu berbahasa Melayu dengan baik. Idea menyakat abang sangat berhasil sehingga saya juga menjadi pencinta buku sepertinya dan apabila semakin membesar, saya menaruh percaya akan kebenaran kata-kata abang itu. Ya, saya akan menjadi anak angkat, mungkin juga anak kesayangan kepada  Manusia Sekerat Ular Sekerat Belut ini jika tidak tahu menyayangi bahasa ibunda sendiri.
            Suatu ketika, langit kelihatan begitu cerah nan gemilang, ayah membawa kami ke Taman Haiwan Negara bagi mengisi cuti hujung minggu. Paling gembira pastilah saya si anak bongsu. Awal-awal lagi saya sudah berpesan kepada abang agar membawa sekali kamera mahalnya. Saya katakan pada abang bahawa saya mempunyai misi yang penting ketika di Taman Haiwan Negara nanti. Setelah melangkah masuk ke dalam taman fauna yang besar itu, tiada rasa keterujaan yang bertamu. Haiwan-haiwan yang ada di situ tidaklah menarik perhatian saya memandangkan saya pernah melihatnya melalui peti televisyen dan juga melalui bahan bacaan. Saya mencari-mencari sesuatu tetapi tidak ketemui. Saya hampa. Abang pula seolah-olah dapat meneka musabab wajah saya mencuka.
            “Adik kecewa sebab tidak dapat melihat Manusia Sekerat Ular Sekerat Belut?”
            “Sangat kecewa. Kenapa Manusia Sekerat Ular Sekerat Belut itu tiada di sini? Adakah Manusia Sekerat Ular Sekerat Belut telah pupus seperti dinosaur?
            “Suatu hari nanti adik akan berjumpa juga dengan Manusia Sekerat Ular Sekerat Belut tu. Kalau tidak jumpa di Taman Haiwan Negara, mungkin di Muzium.”
            “Muzium?”
            “Muzium bahasa, itupun kalau adik bernasib baik.”
            Abang gelak berdekah-dekah pada saya. Saya rasa mahu sahaja mengigit tangannya, tetapi nasib baik dia pandai memujuk adiknya ini dengan membeli buku terbaru untuk saya ketika dalam perjalanan pulang dan menyebabkan saya tidak mempersoalkan lagi mengenai ketiadaan manusia sekerat ular sekerat belut di Taman Haiwan Negara. Buku tersebut juga sangat menarik iaitu Nahu Melayu Mutakhir, karangan Asmah Haji Omar. Ya, abang sememangnya memanjakan saya dengan buku-buku berat seperti ini biarpun saya masih di usia kanak-kanak.
Masa yang pantas berlalu turut jauh meninggalkan saya dengan kisah Manusia Sekerat Ular Sekerat Belut. Saya semakin melupakan Manusia Sekerat Ular Sekerat Belut dan tiada lagi bayangan atau mimpi ngeri penuh misteri mengenainya pada setiap malam ketika melewati usia remaja.
            Lupakan seketika perihal Manusia Sekerat Ular Sekerat Belut memandangkan masing-masing sibuk bercerita mengenai Mesyuarat Persatuan Bahasa Melayu Sejagat. Masing-masing berteka-teki dengan tarikh yang bakal diumumkan oleh Presiden Persatuan Bahasa Melayu Sejagat.
“Khabarnya mulai tahun ini kertas pemilihan akan berubah,” kata Pak Cik Selamat Misai Kontot.
“Anak aku pun yang kerja di Kantor Persatuan Bahasa Melayu Sejagat pun cakap macam tu. Katanya, sistem pemilihan tahun ini lain, tapi aku tak tau la lain macam mana,” sambung Pak Cik Khamis.
Ketika sedang asyik menonton drama air mata yang klise di peti televisyen sambil memakan rojak buah, tiba-tiba siaran beralih kepada pengumuman daripada pihak Majlis Pusat Bahasa Melayu Sejagat. Ayah begitu asyik sekali memberi perhatian terhadap siaran televisyen. Pengumumannya membuatkan ayah terus menutup televisyen. Mata ayah tidak berkedip pun. Mulut ayah terkumat-kamit seperti membaca jampi tetapi saya yakin itu bukan jampi. Saya tidak berani memandang muka ayah yang tengah amarah itu, lalu menyambung memakan rojak buah yang dibeli sebelum itu. Tiba-tiba ayah bersuara.
“Adik, jangan jadikan bahasa kebangsaan kita seperti rojak buah ini.” Saya memperlahankan kunyahan dan menganggukkan kepala. Saya mengerti amanat mulus ayah itu.
Sebelum suria pagi menyapa, orang ramai telah keluar ke Pusat Pemilihan Jawatankuasa Persatuan Bahasa Melayu Sejagat. Ayah, ibu dan abang turut keluar membuat pemilihan. Saya hanya tinggal di rumah dan menonton siaran televisyen sambil saya  menyelak buku sains Bahasa Melayu yang saya pinjam dari abang agar saya lebih berfikiran rasional daripada mereka-harapnya.
2.
Ketika menonton kartun yang begitu menguji minda di televisyen, satu pengumuman telah dibuat berkaitan pemilihan Ahli Jawatankuasa Persatuan Bahasa Melayu Sejagat yang dijalankan pada hari sebelumnya. Pengumuman tersebut benar-benar diujarkan dalam bahasa Melayu sepenuhnya tanpa dicampuradukkan. Kata orang yang sedang berucap itu, banyak kertas pemilihan yang tidak diterima. Nyatanya, ramai yang tidak faham mengisi kertas pemilihan yang telah diedarkan.
            “Pak Cik tak faham kaedah mengisi kertas pemilihan kali ini kerana tiada penjelasan tepat mengenainya,” kata seorang lelaki beruban ketika ditemuramah pemberita.

            Sejak hari itu, Manusia Sekerat Ular Sekerat Belut kian pupus. Presiden Bahasa Melayu Sejagat begitu tegas dalam memartabatkan bahasa Melayu. Sesiapa sahaja yang bercakap Melayu dan dicampur dengan bahasa asing akan didenda!

HAK CIPTA TERPELIHARA
Cerpen ini telah disiarkan dalam Berita Harian Ahad, 8 September 2013

Thursday, September 12, 2013

CERPEN | MANUSIA SEKERAT ULAR SEKERAT BELUT | BAHASA MELAYU

'Manusia Sekerat Ular Sekerat Belut'-Berita Harian Ahad, 8 September 2013

Alhamdulillah, akhirnya cerpen ini mendapat tempat di media. Menunggu masa untuk disiarkan pun tidaklah lama, dalam erti kata lain tidak sampai sebulan daripada tarikh penghantarannya. Sebenarnya, sebelum ini saya mengirimkan cerpen ini ke sebuah majalah dan setelah beberapa bulan menunggu, saya pun menarik kembali cerpen ini daripada editornya, lalu dikirimkan kepada editor sastera Berita Harian Ahad dan menemui pembaca pada 8 September 2013. 

Malam sebelum penyiarannya, saya sudah dapat merasai aura penyiarannya pada hari esok, sehinggalah pagi itu saya membaca beberapa mesej yang diterima (selalunya, hati akan berdebar-debar dan seolah-olah saya dapat mengagak bahawa esok karya saya disiarkan). Semoga beroleh manfaat daripada cerpen saya ini.

Ucapan tahniah juga saya terima menerusi Facebook, terima kasih!
-Tengah menulis cerpen yang seterusnya. Doakan ya!

Monday, September 2, 2013

SETAHUN ELEGAN | LEGASI OAKHEART

Tarikh 1 September, tahun 2013 adalah genap setahun majlis pelancaran antologi puisi Elegan yang juga merupakan produk pertama Legasi Oakheart. Pastinya setahun ini merupakan  tahun yang terisi dengan cerita-cerita yang bermakna antara kami ahli-ahli Legasi Oakheart, tambahan pula jumlah ahli keluarga kami kian bertambah. Dalam usia setahun kelahiran produk pertama, Legasi Oakherat sebenarnya telah menerbitkan empat buah produk buku dan kini tampil dengan majalah Legasi. 

Kredit gambar: Legasi Oakheart/Hafiz Latiff



Sunday, September 1, 2013

KEPUTUSAN CERPEN DAN PUISI MUDA MUDI

Pihak kami di Legasi Oakheart menerima penyertaan yang begitu menggalakkan untuk antologi cerpen dan puisi Muda Mudi yang bakal diterbitkan. Sebanyak 190 buah puisi dan 64 buah cerpen telah diterima. Pihak kami mengambil masa yang agak lama untuk menilai dan memilih yang terbaik. Terima kasih atas sokongan dan penyertaan anda. Berikut merupakan senarai nama penulis yang karyanya terpilih. Tahniah!



Keputusan bagi cerpen yang terpilih untuk antologi Muda Mudi

Keputusan bagi puisi yang terpilih untuk antologi Muda Mudi

Antologi/Cerpen /Puisi /Muda-Mudi/ Legasi Oakheart

TETAMU YANG BERKUNJUNG | HARI RAYA AIDILFITRI 2013 | PERSAHABATAN


Setiap kali tibanya hari raya, rumah saya sentiasa terbuka untuk sahabat-sahabat saya yang lama sudah tidak berjumpa untuk berkunjung. Selalunya saya akan menerima kunjungan sahabat-sahabat semasa menutut di tingkatan enam dahulu. Merekalah sahabat-sahabat saya di sini setelah berpindah ke Kedah. Rata-ratanya tinggal di Kuala Kedah dan Tandop. Sahabat-sahabat yang dekat dengan kawasan teratak saya memang tiada. Selain mereka, raya kali ini saya juga menerima kunjungan sahabat-sahabat semasa di universiti. Kak Rosnida siap bawa anak menakannya sekali. Amalina dan Masliha pula dari Pulau Pinang bersama sahabat-sahabat master USM mereka sudi untuk bertandang ke teratak saya. 

Sesungguhnya, hari raya adalah detik yang sangat sesuai untuk berkunjung atau menziarahi kenalan yang telah lama tidak berjumpa. Pada ketika inilah kita berkongsi-kongsi kisah kehidupan masing-masing. Masing-masing punya cerita sendiri dan adakalanya, kenangan yang dilalui bersama itu jua yang kita ungkitkan kembali.


Kunjung-mengunjung, ziarah-menziarahi, hari raya Aidilfitri, reunion, sahabat-sahabat, rumah terbuka