Saturday, July 20, 2013

LEGASI BUKU & MAJALAH 'LEGASI'

Usia Legasi Oakheart sudahpun menjangkau lebih daripada setahun dan dalam setahun itu, Legasi Oakheart begitu giat dalam menerbitkan karya-karya penulis muda dan mendapat sokongan daripada banyak pihak.

Pada tanggal 20 Julai 2013 merupakan antara detik terindah dalam perjalanan sejarah Legasi Oakheart. Pada tarikh tersebut, Kedai Buku Maya Legasi Buku milik Legasi Oakheart telah dilancarkan. Anda boleh memesan buku-buku terbitan Legasi Oakheart melalui laman ini. Selain itu, anda juga boleh memesan majalah-majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka di sini, majalah Pentas terbitan Istana Budaya, beberapa buah buku terbitan JS Adiwarna dan beberapa buah buku terbitan R A Fine Arts.

Klik gambar di bawah untuk terus ke Legasi Buku


Selain itu, majlis berbuka puasa Legasi Oakheart yang juga diadakan pada hari tersebut turut menjadi saksi bagi pelancaran majalah Legasi dan majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Editor Dewan Sastera, Tuan Fadli Al- Akiti.


Ayuh, kirimkan tulisan anda seperti cerpen, puisi, resensi buku, laporan aktiviti sastera dan juga surat pembaca kepada 
legasioakheart@gmail.com  

Selamat membeli-belah dan mengakrabi Legasi!

KEPUTUSAN SEMESTER KEDUA


Alhamdulillah, keputusan semester kedua telah pun diketahui. Sememangnya tugasan semester kedua memang sangat mencabar. Bayangkan, saya yang bukan dari aliran bahasa Melayu perlu membuat tugasan perbandingan pembentukan kata antara tiga buku rujukan tatabahasa. Secara rawak saya mendapat tugasan pembentukan Frasa Adjektif dan saya mengambil masa yang lama juga untuk siapkannya dan sayalah orang yang terakhir menghantar tugasan ini. Saya bandingkan pembentukan Frasa Adjektif antara Tatabahasa Dewan, Nahu Mutakhir Melayu dan Nahu Bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, banyak yang saya pelajari daripada tugasan-tugasan yang diberi dan terima kasih kepada semua pensyarah yang sangat memahami dan baik hati.


MAJLIS PERKAHWINAN HASLIANIE


Catatan ini merupakan catatan tertangguh. Pada 1 Jun yang lalu, saya dan beberapa rakan lain sempat menghadiri majlis perkahwinan sahabat INTAFF (International Affairs) kami iaitu Haslianie. Haslianie selamat dinikahkan dengan suaminya yang juga rakan lamanya di Sungai Petani. Selain menghadiri majlis beliau, dapatlah juga kami jumpa kembali sahabat-sahabat ketika menuntut di peringkat ijazah sarjana muda dahulu. Macam biasalah, bila sudah berjumpa pelbagai kisah yang dikongsikan. Malam itu juga kami sempat menikmati hidangan makanan laut di Kuala Perlis. Jumpa lagi Intaffians!

Kredit gambar: Amalina, Shahbani. 

Giveaway Rahmatnya Ramadan


Entri kali ini adalah berkaitan dengan 'Giveaway Rahmatnya Ramadan Part 2' yang dianjur oleh Mohd Zuhri dan ada pelbagai hadiah yang ditaja oleh rakan-rakan blogger yang lain. 



Kepada yang ingin menyertainya boleh klik pada 'banner' di bawah dan terus ke entri yang ditulis oleh Mohd Zuhri untuk mengetahui syarat penyertaan dan hadiah-hadiahnya. Selamat mencuba dan semoga kita dapat menambah kenalan dan mengeratkan hubungan sesama blogger.


Sungguh lawa manis berkebaya,
cantik berdandan hingga ke malam,
malam bernyawa indah bercahaya,
rahmatnya Ramadan seluruh alam.

SALAM RAMADAN!

Friday, July 19, 2013

KENANG-KENANGAN 100 TAHUN SEKOLAHKU


Saya melihat kembali koleksi rantai kunci yang saya ada dan saya jumpa persamaan antara dua rantai kunci ini. Kedua-duanya merupakan rantai kunci sempena ulang tahun ke- 100 sekolah saya. Kedua-dua sekolah ini berada di negeri yang berbeza dan mencapai usia 100 tahun pada tahun yang berhampiran, hanya berbeza setahun sahaja dan saya rasa bertuah kerana dapat menjadi sebahagian daripada warga kedua-dua sekolah tersebut. SMK Sultan Yussuf , Batu Gajah Perak atau lebih mesra dipanggil SYS yakni singkatan bagi Sultan Yussuf School mencapai usia 100 tahun pada tahun 2007 (1907-2007). Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar Kedah pula mencapai usia 100 tahun pada tahun berikutnya (1908-2008). Persamaan seterusnya ialah kedua-duanya juga merupakan antara gedung pendidikan yang pernah menerima Sultan yang memerintah negeri masing-masing sekarang sebagai salah seorang pelajarnya. Seronok juga berada di sekolah premier atau sekolah lama ni kerana mempunyai sejarah yang menarik dan bangunan yang unik berbanding sekolah-sekolah yang lain.

Tuesday, July 16, 2013

KESANTUNAN BERBAHASA DALAM KALANGAN REMAJA

Dewasa ini, laporan perilaku para remaja yang berada di luar batasan kesopanan serta kesusilaan sangat membimbangkan. Dunia yang kian meluas tanpa sempadan sebenarnya semakin menyempitkan kesantunan berbahasa dalam kalangan remaja. Remaja masa kini lebih ghairah mendaulatkan teknologi  sehingga mengabaikan kesantunan berbahasa dalam komunikasi seharian.  Berikut merupakan takrif bagi remaja dan kesantunan berbahasa.
     Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) mentakrifkan remaja sebagai mulai dewasa, sudah akil baligh dan sudah cukup umur untuk berkahwin. Menurut Azizi Haji Yahaya (2011), zaman remaja dikatakan bermula dari akil baligh dan berakhir apabila memasuki alam dewasa. Ia marupakan satu tempoh peralihan dalam pusingan hidup yang melibatkan banyak perubahan yang berlaku, sama ada dari segi perkembangan fizikal, emosi dan kognitif di mana ia mula minat hubungan dengan rakan sebaya dan mulai belajar peranan kerja, peranan dalam keluarga dan sebagai warga masyarakat. Zaman remaja dikatakan satu proses untuk mencapai atau memperolehi sikap dan kepercayaan bagi penglibatan yang berkesan dalam masyarakat.
     Hafizah Salleh (2005) dalam bukunya memberi maksud kesantunan berbahasa sebagai kehalusan bahasa yang digunakan untuk menunjukkan kesopanan seseorang apabila berkomunikasi dengan orang lain, iaitu sama ada secara lisan ataupun dalam bentuk tulisan. Hanya kosa kata yang halus dan sopan digunakan untuk menyampaikan sesuatu mesej yang tertentu.
     Menerusi buku Santun Berbahasa, Awang Sariyan (2007) menjelaskan bahasa kesantunan ialah penggunaan bahasa yang baik, sopan,  beradab, memancarkan peribadi mulia dan menunjukkan penghormatan kepada pihak yang menjadi teman bicaranya. Siti Hajar Abdul Aziz (2009) pula dalam bukunya menyatakan bahawa kesantunan bahasa ialah cara penggunaan kata dan ujaran secara sopan dan beradab.
     Kesimpulannya, kesantunan berbahasa adalah keadaan menggunakan bahasa yang beradab tanpa mengguris perasaan orang lain. Sebagai remaja yang bakal memacu kepimpinan negara, sewajarnya memahami konsep kesantunan berbahasa dan mengamalkannya dalam aktiviti seharian.
Rujukan:
Awang Sariyan, (2007). Santun berbahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Azizi Haji Yahaya. (2011). Definisi remaja dan pembentukan konsep kendiri dan hubungannya dengan keluarga. Diperoleh pada 1 November 2012, daripadahttp://www.uprints.utm.my/PEMBENTUKAN_KONSEP_KENDIRI

Hafizah Salleh, (2005). Bahasa Melayu STPM Kertas 1 dan 2.Selangor: Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd.

Siti Hajar Abdul Aziz. (2009). Bahasa Melayu II.  Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Wednesday, July 3, 2013

INSTAGRAM



Saya kini telah mempunyai akaun instagram. Boleh mengikuti saya di sana juga ya, dengan kata carian: mohdhaniffmohammadyusoff

Terima kasih.
-Mohd Haniff Mohammad Yusoff

PEPERIKSAAN SEMESTER DUA YANG SUDAH SELESAI

Tika saya menaip entri ini, hujan begitu lebat di luar sana. Lama juga saya tidak mengemaskini blog sendiri. Malah, ada yang tertanya-tanya ke mana saya menghilang memandangkan di Facebook juga saya tidak seaktif selalu. Sebenarnya, saya menghadapi peperiksaan akhir untuk semester dua dan biarpun jadualnya seminggu satu subjek, masa seminggu itu juga saya gunakan untuk menyiapkan tugasan. Tugasan semester ini memang saya rasa beratnya berbanding semester yang lalu. Alhamdulillah, segalanya telah selesai dan dalam bulan Julai ini juga keputusannya akan diumumkan. Biarpun, cuti telah pun bermula, saya, Hamira dan Judy terikat dengan tugasan sebagai RA- pembantu penyelidik kepada Dr. Hisham. Menulis? Pensyarah subjek Sastera untuk Kanak-kanak dan Remaja sempat menitip pesanan agar saya menulis. Saya tengah mengumpul kekuatan sebenarnya. Sebenarnya, diri sendirilah yang menjadi pendorong paling utama untuk kita melakukan apa sahaja. 

Salam sayang!
-Mohd Haniff Mohammad Yusoff